BELANJAWAN 2021: PEMBANGUNAN E-SUKAN WAJAR DIBERI PENEKANAN KHUSUSBELANJAWAN 2021: PEMBANGUNAN E-SUKAN WAJAR DIBERI PENEKANAN KHUSUS
top of page
  • nabalunews

BELANJAWAN 2021: PEMBANGUNAN E-SUKAN WAJAR DIBERI PENEKANAN KHUSUS



4 Nov 2020

KUALA LUMPUR: Sukan elektronik atau e-sukan yang semakin mendapat sambutan daripada pelbagai peringkat umur wajar diberikan penekanan khusus dalam Belanjawan 2021, kata Presiden Persatuan Sukan Elektronik Kuala Lumpur (ESKL) Hisham Darus.

Beliau berkata dalam mendepani norma baharu yang memberi kesan kepada semua sektor ekonomi dan sukan di negara ini, e-sukan terbukti sebagai platform paling berkesan membantu masyarakat mematuhi perintah kerajaan menerusi kejohanan dalam talian dan sesi webinar.

“Bagi mewakili suara komuniti e-sukan di Malaysia, saya menyeru agar Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini turut memperuntukkan jumlah dirasakan wajar bagi pembangunan industri sukan elektronik agar dapat dimanfaatkan melangkaui daripada penganjuran kejohanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hisham berkata penekanan dalam pendidikan mengenai e-sukan secara sihat dan berhemah masih pada tahap sederhana dalam kalangan masyarakat terutama bagi penggiat sukan itu selain pembangunan infrastruktur dan akar umbi yang dilihat masih tercicir berbanding negara serantau lain.

“Saya yakin sekiranya peruntukan pembangunan ini dapat disediakan, kerjasama antara kerajaan dengan persatuan dan komuniti pastinya akan dapat menjadikan Malaysia sebagai negara yang mampu melahirkan lebih ramai atlet profesional dan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Hisham berkata ekosistem e-sukan juga merangkumi pelbagai cabang yang turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara seperti bidang penganjuran, kejurulatihan dan penciptaan kandungan yang juga membantu ekonomi golongan belia masa kini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020, sebanyak RM20 juta diperuntukkan kerajaan bagi pembangunan e-sukan di Malaysia, sekali gus menyaksikan peningkatan peruntukan dua kali ganda berbanding RM10 juta pada Belanjawan 2019. – Bernama

bottom of page