• nabalunews

BELANJAWAN 2021: SUBSIDI RM1.7 BILION UNTUK BANTU PETANI DAN NELAYAN - TENGKU ZAFRUL


6 Nov 2020

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1.7 bilion akan diperuntukkan dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif kepada petani dan nelayan dalam Belanjawan 2021 ketika negara berhadapan berhadapan pandemik COVID-19, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sewaktu membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini, Tengku Zafrul berkata subsidi itu antara lain membabitkan sebanyak RM570 juta untuk harga padi dan RM960 juta untuk insentif tanaman padi termasuk subsidi baja padi bukit sebanyak RM40 juta yang dijangka dapat memanfaatkan lebih 300,000 pesawah di seluruh negara.

Bagi membantu pekebun kecil getah dalam keadaan harga pasaran rendah, Tengku Zafrul berkata peruntukan bagi Insentif Pengeluaran Getah akan ditingkatkan sekali ganda daripada RM150 juta kepada RM300 juta sekali gus pendapatan 150,000 pekebun kecil getah persendirian dapat distabilkan.

Tengku Zafrul berkata selain itu, elaun sara hidup nelayan juga akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 bermula tahun depan, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada September lepas.

Katanya, peruntukan sebanyak RM151 juta ini akan memanfaatkan lebih 40,000 nelayan.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi membantu peneroka FELDA, sebanyak RM400 juta akan diperuntukkan untuk menghapus faedah hutang kebun peneroka dan menyediakan program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu. - Bernama