top of page

BELANJAWAN 2021 TIDAK PENUHI HARAPAN RAKYAT SABAH: AZIS

nabalunews

Azis Jamman

7 NOV 2020


KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman berkata, Belanjawan 2021 Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak memenuhi harapan rakyat Sabah, malah lebih malang apabila peruntukan 'Geran Khas' kepada negeri Sabah dipotong.


Ketua Wira WARISAN Sabah itu berkata, sepatutnya jumlah peruntukan tersebut ditambah kerana rakyat Sabah ketika ini sedang berdepan ancaman wabak virus Covid-19 yang semakin membimbangkan dan memberi impak besar kepada ekonomi rakyat Sabah.


“Sewaktu Pilihanraya Negeri Sabah, antara kempen utama para menteri Kerajaan Persekutuan ialah memastikan kesejahteraan dan pembangunan di Sabah terjamin, Kerajaan Negeri dan Keajaan Persekutuan hendaklah sealiran dari segi politik.


“Hari ini Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan telah sealiran namun apa yang berlaku adalah hadiah Kerajaan PN kepada rakyat Sabah sebaliknya tidak meneruskan komitmen Kerajaan Persekutuan sewaktu zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah melalui pemberian geran khas yang sepatutnya meningkat daripada RM53.4 juta selama 5 tahun.


“Jumlahnya dijadualkan meningkat kepada RM106.8 juta selepas 5 tahun tetapi ia kini dikurangkan kepada jumlah asal sebanyak RM26.7 juta sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Azis berkata, Belanjawan kali ini juga menyaksikan peruntukan pembangunan untuk negeri Sabah menyusut apabila hanya RM5.1 bilion akan disalurkan berbanding RM5.2 bilion yang disalurkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.


“Saya melihat langkah kerajaan Perikatan Nasional ini sebagai satu lagi tindakan tidak adil serta berat sebelah kepada rakyat Sabah dan seolah-olah menganaktirikan rakyat Sabah walaupun pelbagai janji semasa Pilihan Raya Negeri Sabah lalu,” katanya.


Beliau berkata, lebih mengecewakan lagi, pada ketika peruntukan untuk Sabah dikurangkan, Kerajaan Persekutuan dibawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memperuntukan sejumlah RM81 juta bagi menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).


“Saya mengecam dan membantah sama sekali langkah Kerajaan Persekutuan memotong peruntukan Geran Khas dan pembangunan untuk negeri Sabah ini.


“Persoalan yang saya ingin bangkitkan, adakah peruntukan kepada rakyat Sabah ini dipotong bertujuan untuk mencari dana bagi menghidupkan semula unit propaganda kerajaan Perikatan Nasional, JASA yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat jelata amnya?


“Cuba kita bayangkan dengan RM81 juta lebih tersebut berapa inisiatif yang boleh dilaksanakan untuk rakyat di setiap kawasan Parlimen seluruh negara yang terjejas dengan pandemik Covid-19, berapa banyak perniagaan kecil yang boleh dibantu sekiranya peruntukan tersebut digunakan untuk tujuan membela kebajikan rakyat,” katanya.


Sehubungan itu Azis menggesa Kerajaan Persekutuan lebih peka dan prihatin terhadap kesusahan dihadapi rakyat ketika ini dimana mereka hilang mata pencarian, kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.


“Saya juga melihat langkah Kerajaan Persekutuan ini sama sekali tidak mencerminkan langkah untuk perdamaian politik atau 'gencatan politik' seperti yang diwar-warkan, sebaliknya Kerajaan masih lagi cuba bermain politik dan tidak jujur untuk mencari titik persamaan dengan blok parti pembangkang.


“Saya menggesa supaya wang sebanyak RM81 juta lebih tersebut disalurkan untuk tujuan menjaga kebajikan rakyat khususnya rakyat Sabah yang terjejas teruk,” katanya.


Azis berharap semua pemimpin Sabah tanpa mengira ideologi politik supaya sama-sama bersatu hati menuntut hak dan peruntukan yang sewajarnya diberi kepada negeri Sabah.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page