- nabalunews
Belanjawan 2025 kaji isu kartel, monopoli dan punca harga barang naik - PM
6 Ogos 2024
PUTRAJAYA: Belanjawan 2025 perlu menumpukan kepada usaha menangani kebimbangan rakyat untuk mengurangkan kos sara hidup, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberikan keselesaan kepada rakyat yang masih terkesan dengan masalah kos sara hidup.
"Satu hal yang sangat memprihatinkan ialah soal kebimbangan rakyat kerana masih berdepan dengan harga kos sara hidup yang meningkat.
"Jadi saya minta dalam belanjawan ini, selain daripada isu yang kita bincangkan, kita usahakan juga masalah kartel, monopoli dan punca kenapa harga barang naik," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Kementerian Kewangan, hari ini.
Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Anwar berkata, Kementerian Kewangan sebagai perancang utama harus memikirkan menerusi usaha rentas kementerian dan mencari kaedah serta jalan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Jelasnya, kos sara hidup yang meningkat itu antara lain disebabkan oleh masalah ketirisan, rasuah, seludup dan kartel.
"Saya tidak menafikan (kos sara hidup meningkat) walaupun saya boleh sebut gula kita, minyak paling murah, tepung paling murah, tapi bagi rakyat Malaysia masih rasa terbeban dan mereka tidak membandingkannya dengan Singapura atau Indonesia.
"Sama juga dari segi baja, benih dan semuanya harus kita tangani di mana Kementerian Kewangan terutama perancang (perlu) memikirkan rentas kementerian," katanya.
Comments