Beli diesel subsidi waktu malam, jual balik dengan harga tinggi
- nabalunews
- Aug 5, 2024
- 2 min read

4 Ogos 2024
PENAMPANG : Modus operandinya, membeli diesel bersubsidi dari stesen minyak pada sebelah malam lalu mengumpulkannya sebelum dijual kepada pihak yang tidak layak dengan harga yang lebih tinggi.
Bagaimanapun aktiviti dua lelaki yang cuba mengaut keuntungan secara menyalahi undang-undang itu akhirnya terhenti setelah mereka dicekup pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam Ops Tiris di Jalan Penampang, kira-kira 9.10 malam, Jumaat lalu.
Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Sabah menjalankan pemeriksaan dan seterusnya menahan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper dan lori Toyota Dyna.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati
sebuah kenderaan Isuzu Trooper mengandungi tangki tambahan jenis kontena pukal atau Intermediate Bulk Container (IBC) pada bahagian belakang yang disyaki berisi minyak diesel anggaran 900 liter.
“Pemeriksaan pada lori turut menemukan tangki jenis fiber di bahagian belakang yang disyaki berisi minyak diesel anggaran 600 liter.
"Kedua-dua kenderaan itu ditahan ketika cuba membuat pembelian minyak diesel di sebuah stesen minyak di sekitar Jalan Penampang.
“Barangan yang disita adalah 1,500 liter minyak diesel, dua kenderaan, tangki IBC, fiber, hos getah dan dua unit mesin pam minyak bernilai keseluruhan berjumlah RM43,855,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Georgie berkata, dua lelaki warga tempatan berusia 29 dan 40 tahun iaitu pemandu kedua-dua kenderaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, berdasarkan keterangan awal, kedua-dua suspek yang ditahan gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN untuk membeli dan membawa minyak diesel yang disimpan di dalam tangki tambahan selain tangki minyak kenderaan.
“Dikenal pasti juga modus operandi bagi aktiviti ini adalah membeli minyak diesel bersubsidi dari stesen-stesen minyak yang beroperasi sebelah malam dan mengumpulkannya sebelum disyaki menjual kepada pihak yang tidak layak menggunakan minyak diesel bersubsidi dengan harga yang lebih tinggi.
“kes ini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel dengan tujuan untuk melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” katanya.
Sementara itu, beliau berkata KPDN Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri ini supaya tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.















Comments