Belia Sabah memerlukan lebih banyak peluang pekerjaan di SabahBelia Sabah memerlukan lebih banyak peluang pekerjaan di Sabah
top of page
  • Writer's pictureMaxolvin Sintore Gabu

Belia Sabah memerlukan lebih banyak peluang pekerjaan di Sabah


28 Sept 2021

Oleh Maxolvin Sintore Gabu


Berdasarkan statistik Jabatan Buruh Malaysia pada suku pertama 2021, Sabah merupakan negeri kedua yang mempunyai kadar penganguran yang tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 8.9% manakala Labuan di tempat pertama dengan 9% kadar pengangguran.


Statistik ini menunjukkan bahawa Sabah sangat kekurangan peluang-peluang pekerjaan dan ini sangat merisaukan terutama sekali bagi golongan belia yang pada hari ini masih berada di universiti, kolej mahupun di sekolah menengah. Adakah trend belia terpaksa berhijrah ke Semenanjung Malaysia untuk mencari pekerjaan ini akan berterusan sejak lebih 20 tahun yang lalu?


Salah satu punca bagi masalah kekurangan peluang pekerjaan ini adalah kerana kurangnya aktiviti penghiliran ataupun downstream di Sabah. Sebagai contoh, Sabah lebih suka untuk mengexport getah dengan harga yang jauh lebih murah dan mengimport kembali produk getah seperti tayar yang mana harganya sudah berlipat berkali ganda.


Kenapa tidak Sabah ini mencari pelabur untuk membuka kilang tayar di Sabah sedangkan kita mempunyai sumber? Kita juga mempunyai sumber lain seperti sawit, kayu balak, makanan laut dan sebagainya. Kenapa Sabah hanya berminat untuk mengekspot “bahan mentah” dan bukan produk siap yang mana terbukti mempunyai margin harga atau keuntungan yang lebih tinggi selain dapat mencipta peluang pekerjaan bagi anak Sabah?


Industri pembuatan atau perkilangan harus menjadi keutamaan oleh siapa sahaja kerajaan yang memerintah Sabah. Bayangkan jumlah peluang pekerjaan yang boleh dicipta dengan membuat satu kilang sahaja di Sabah. Kakitangan pejabat, operator mesin, technician, electrical engineer, tukang bersih dan sebagainya. Berdasarkan data yang ada, majoriti penduduk Sabah terdiri daripada golongan bukan pakar atau separa pakar, maka peluang-peluang pekerjaan seperti ini adalah sangat sesuai untuk golongan ini.


Bagi saya secara peribadi sebagai seorang belia Sabah, apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri Sabah adalah untuk mempunyai dasar-dasar yang berdaya saing bagi menarik para pelabur untuk membuka kilang-kilang di Sabah. Contohnya kadar cukai atau kadar sewaan untuk tanah tanah yang ada. Lebih baik tanah yang ada digunakan untuk membina kilang, walaupun tanpa sewa namun boleh mencipta peluang pekerjaan daripada tanah itu terbiar. Sabah ini luas, gunakan segala sumber yang ada sebaiknya. Sabah harus boleh memberi kemudahkan kepada para pelabur untuk meminimakan kos permulaan dalam pelaburan mereka di Sabah.


Namun, realitinya, sebaik apapun dasar yang diperkenalkan, sekiranya perkara asas seperti bekalan air dan elektrik yang tidak stabil dan keadaan infrastruktur logistic seperti jalan raya dan Pelabuhan yang masih dalam keadaan daif, adalah agak sukar bagi pelabur untuk datang ke Sabah.


Ini adalah satu perkara asas yang harus diberi keutamaan, mahu di peringkat kerajaan negeri ataupun kerajaan persekutuan.


Perkara ini harus dimasukkan ke dalam RMK-12 sebagai salah satu usaha dalam membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan penduduk luar bandar dan bandar. Rakyat Sabah terutama belia lebih memerlukan peluang pekerjaan berbanding dengan bantuan daripada pihak kerajaan yang tidak bersifat mampan, mahu kepada rakyat dan juga kepada ekonomi negara.


“Give a man a fish, feed him for a day. Teach a man to fish, feed him for a lifetime” - Lao Tzu


Maxolvin Sintore

Generasi Muda UPKO Malaysia

bottom of page