Benarkah keputusan saringan kendiri guna Kit Ujian Covid-19 tidak tepat?
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Benarkah keputusan saringan kendiri guna Kit Ujian Covid-19 tidak tepat?



18 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Keputusan saringan kendiri yang berbeza-beza menimbulkan tanda tanya orang ramai sama ada kit ujian kendiri Covid-19 yang dijual dipasaran palsu atau sebaliknya.


Ia berikutan tular di media sosial, hanya jenama atau kit saringan tertentu sahaja yang memberikan keputusan tepat.


Tular di media sosial

Menurut seorang pengguna yang hanya dikenali sebagai Jessie, dia membuat saringan kendiri kerana dia kontak rapat seorang positif Covid-19.


“Keputusan yang saya dapat melalui ujian menggunakan kit saringan kendiri, saya negatif.


“Tetapi saya berasa ragu-ragu dengan keputusan itu kerana saya mempunyai simptom, maka saya membuat ujian pengesahan RT-PCR dan keputusannya saya positif Covid-19,” katanya.


Sehubungan itu beliau meminta pihak berkuasa memantau penjualan kit saringan kendiri Covid-19 yang dikhuatiri palsu dijual pihak tidak bertanggungjawab.


Selain itu kesahihan keputusan kit saringan kendiri menggunakan sampel air liur juga mula dipersoal apabila viral satu video seorang wanita membuat ujian menggunakan air paip dan keputusan ujian itu menunjukkan positif.



Ekoran daripada video tersebut Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan kit ujian kendiri COVID-19 yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan keputusan tepat.


Beliau berkata, hanya kit ujian kendiri COVID-19 ‘asli’ dapat bertindak balas dengan air liur dan antibodi dalam sampel air liur yang diambil. Tidak dinafikan ada kit ujian kendiri COVID-19 menunjukkan keputusan tidak jitu, sebab itu KKM menyarankan penggunaan kit ujian yang diluluskan sahaja.


“Pengguna perlu membeli kit ujian kendiri COVID-19 disarankan kerajaan dan di farmasi, ada banyak kit ujian itu yang murah dan palsu di pasaran sekarang,” katanya menurut laporan Astro Awani.


Sementara itu, dalam laporan Utusan Malaysia, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) diarah memanggil semula semua pembekal kit ujian kendiri Covid-19 bagi meneliti isu berkaitan kualiti dan ketepatan alat ujian itu.


Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dipetik sebagai berkata, beliau mengakui menerima pelbagai rungutan dan aduan orang ramai terhadap ralat keputusan apabila membuat saringan menggunakan kit saringan kendiri yang dijual di pasaran.


“Kita ambil maklum mengenai keraguan terhadap kit saringan kendiri menggunakan sampel air liur yang dijual di pasaran kerana dikatakan memberi keputusan negatif palsu.


“Justeru, saya arahkan MDA supaya menyampaikan saranan kepada pembekal untuk meminta maklumat jaminan kualiti daripada pengilang atau pengeluar kit saringan. Mereka juga harus semak sama ada proses jaminan kualiti bagi setiap produk kit saringan kendiri itu dibuat dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang akhbar, kelmarin.


Katanya, ketika kit ujian itu diluluskan MDA sebelum ini, ketepatan alat ujian itu mungkin 99 peratus tetapi kadar itu mungkin merosot dalam tempoh tertentu disebabkan tiada pemeriksaan kualiti oleh pihak pengeluar dan pembekal.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page