• nabalunews

Bentang usul yang ditolak sebelum ini bukti kerajaan tidak ikhlas kembalikan hak Sabah, Sarawak


27 Nov 2021

Oleh Ilona Andrew


PENAMPANG: Pembentangan usul pindaan bagi perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan oleh Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan pindaan yang sama yang digagalkan oleh mereka pada tahun 2019 menunjukkan ketidak ikhlasan dalam mengembalikan hak Sabah dan Sarawak.


Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Nelson W. Angang berkata Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lepas telah membuat usul pindaan dalam perlembagaan persekutuan untuk mengembalikan hak dan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan setaraf (equal partners) namun telah gagal akibat tidak mempunyai sokongan sebanyak dua per tiga dari ahli-ahli parlimen.


“Kita ingat antara ahli-ahli parlimen yang mengagalkan pindaan ini adalah ahli-ahli parlimen daripada Barisan Nasional (BN) seperti parti UMNO, MCA dan MIC, Parti PAS dan juga GPS.

“Namun sekarang usul pindaan yang dibuat bagi perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang diperkenalkan oleh kerajaan sekarang ini, merupakan pindaan yang sama dengan setiap ayat dan perenggannya.


“Di sinilah kita lihat ketidak ikhlasan yang wujud dikalangan mereka kerana tidak menyokong pindaan tersebut sebelum ini hanya kerana permainan dan percaturan politik tetapi pada masa yang sama tindakan mereka ini juga bermain dengan hak dan masa depan anak-anak kita,” katanya semasa menyampaikan ucapannya di Persidangan Agung Luar Biasa UPKO 2021 di Dewan Pusat Kebudayaan, di sini, hari ini.

Nelson juga menyatakan bahawa UPKO berperanan dalam memastikan perkara ini dapat diperbetulkan dan diperbaiki dengan rakan-rakan di peringkat persekutuan yang mempunyai sifat keterbukaan untuk mendengar dan menerima pendapat serta idea yang diberikan.


Dalam persidangan ini, pembentangan dan perbahasan berkenaan dengan beberapa usul penting dalam pindaan Perlembagaan Parti UPKO untuk melancarkan lagi pentadbiran parti telah diutarakan.

Tags: