Berganding bahu bangunkan Sabah: Hajiji
30 Jan 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengajak masyarakat Cina supaya berganding bahu dengan kerajaan membangunkan negeri seterusnya memastikan kejayaan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau berkata, dua tahun kebelakangan ini amat sukar bagi rakyat kerana pandemik Covid-19 namun ia perlu dihadapi dengan tabah.
“Semoga Tahun Harimau akan menjadikan negeri kita terus maju dan rakyat hidup aman dan harmoni,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina yang disiarkan di RTM.
Hajiji mengulangi bahawa kerajaan negeri akan sentiasa menyokong dan menggalakkan masyarakat Cina di negeri itu untuk menganjurkan aktiviti kebudayaan, termasuk sambutan Tahun Baharu Cina.
“Tahun Baharu Cina juga disambut bersama oleh rakyat dari kaum dan agama lain di Sabah. Ini adalah antara ciri unik negeri ini dan model terbaik untuk konsep Keluarga Malaysia,” katanya.
Beliau turut menasihati rakyat negeri ini supaya terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19 semasa perayaan ini.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri dan keluarga saya, saya mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada masyarakat Cina,” katanya.
Comentarios