- Wartawan Nabalu News
Beri sokongan kepada calon wanita Pakatan Harapan di Kimanis: Ewon

16 November 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KIMANIS: Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyeru warga para pengundi khususnya wanita supaya memberikan sokongan padu kepada calon Harapan Parlimen Kimanis Rowindy Lawrence Odong pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, sokongan itu penting bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Pakatan Harapan seterusnya membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan baharu.

“Pilihan raya umum kali ini bukan setakat memilih wakil rakyat tetapi yang lebih penting memilih kerajaan baharu dan Perdana Menteri yang akan mentadbir negara ke arah yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Jelajah Harapan Kimanis, di Kg.Tiong Baru Membakut
Ewon yang juga calon Pakatan Harapan Parlimen Penampang berkata, Program Kampung Sejahtera di Kg.Tiong Membakut adalah antara usaha Rowindy semasa menjadi Pegawai Khas Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah beberapa tahun lalu.

“Ketika berada di KPLB, beliau (Rowindy) mencadangkan supaya kampung ini dimasukkan dalam program Kampung Sejahtera
“Oleh itu saya berharap masyarakat Membakut dapat memberi peluang kepada beliau untuk berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kimanis untuk perubahan pembangunan yang lebih pesat lagi,” katanya.
Sementara itu Rowindy berkata, antara aspirasinya untuk rakyat Kimanis ialah membawa lebih banyak pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, internet, peluang pekerjaan dan pelancongan.

Selain itu katanya, masalah banjir juga antara isu utama di kawasan Kimanis yang perlu diselesaikan.
“Semua ini dapat kita ubah dan selesaikan melalui kepimpinan baharu di Kimanis. Beri peluang kepada pemimpin wanita untuk membuktikan keupayaan menjadi Ahli Parlimen Kimanis.
“Oleh itu saya menyeru warga Kimanis khususnya pengundi supaya dapat membuat keputusan bijak pada 19 November ini,” katanya.

Rowindy adalah calon wanita pertama masyarakat Kadazandusun bertanding di Parlimen Kimanis.
Turut hadir pada program itu Setiausaha Agung UPKO Nelson Angang, Datuk Philip Lasimbang, Datuk Laurentius Ambu, Datin Juliana Jani, Ketua Cabang PKR Kimanis Awang Chuchu dan Ketua Bahagian UPKO Kimanis Joesey Limy.