Bersatu Sabah gesa Muhyiddin letak jawatan
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

3 Disember 2025
KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menggesa Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meletakkan jawatan susulan kegagalan parti itu meraih sebarang kerusi pada pilihan raya negeri baru-baru ini.
Ketua Bahagian Bersatu Libaran, Yunus Nurdin berkata, 20 daripada 24 bahagian Bersatu sebulat suara bersetuju mendesak peletakan jawatan Muhyiddin serta-merta sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Yunus, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan Setiausaha PN Sabah mendakwa prestasi hambar gabungan itu berpunca daripada kekurangan sokongan jentera kempen serta isu dalaman parti.
“Terdapat banyak kekurangan dari segi bantuan kempen kepada Bersatu Sabah atau PN Sabah kerana kami tidak menerima sebarang sokongan, bantuan atau peruntukan dana pilihan raya.
“Ia termasuk penyediaan bahan kempen termasuk logistik dan bahan promosi untuk calon,” katanya lapor The Borneo Post.
Beliau menambah, kemelut politik dalaman di peringkat pusat turut menyumbang kepada kekalahan tersebut.
Menurutnya, kepimpinan pusat telah membuat beberapa keputusan mengejutkan khususnya di Sabah, antaranya tindakan pemecatan dan penggantungan beberapa ahli penting.
“Kami telah membangkitkan perkara ini kepada pimpinan pusat bahawa ia tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi ketika hampir tempoh berkempen, namun ia tidak diendahkan.
“Gerakan politik dalaman ini memberi kesan mendalam terutamanya keyakinan akar umbi, malah kami berdepan kritikan pengundi yang mempersoalkan bagaimana parti boleh menang sedangkan ahli sendiri berdepan pemecatan,” ujarnya.
Menurut Yunus, Bersatu menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka namun menegaskan akauntabiliti tetap perlu diambil pucuk pimipinan parti itu.
Beliau berkata, 20 daripada 24 bahagian Bersatu bersetuju bahawa kegagalan itu berpunca daripada kelemahan kepimpinan Muhyiddin.
"Kami mahu presiden parti bertanggungjawab atas kelemahan sebagai pemimpin dan mendesak presiden untuk berundur meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu dan juga Pengerusi PN," katanya.
Beliau berkata, kesemua 20 ketua bahagian bersedia berdepan tindakan disiplin ekoran pendirian tersebut.
“Kami sedar dan pimpinan Sabah juga sedar bahawa mungkin akan ada tindakan disiplin selepas ini. Jika tindakan diambil oleh kepimpinan pusat, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan drastik yang boleh melumpuhkan keseluruhan kepimpinan Bersatu Sabah,” katanya.
Yunus turut memaklumkan bahawa mereka masih gagal menghubungi Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, untuk mengadakan perbincangan serta menyelesaikan kemelut berkenaan.


















Comments