top of page
Wartawan Nabalu News

BERSIH 2.0 mengalukan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani Kerajaan, PH



13 September 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengalu-alukan Memorandum Persefahaman Tranformasi (MoU) dan Kestabilan Politik antara Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH). Menurut Bersih 2.0, persefahaman tersebut adalah pencapaian yang jarang antara kerajaan dan pembangkang dalam politik Malaysia di mana semangat rentas parti diutamakam berbanding retorik jahat, tindakan bersendirian dan politiking yang tidak berkesudahan. "Persefahaman ini berpaksi kepada keperluan kestabilan politik bagi pengurusan pandemik Covid-19 yang lebih baik dan memulihkan ekonomi," kata Bersih 2.0 dalam kenyataan media, hari ini. Bagaimanapun, Bersih 2.0 mengatakan parti lain di kerusi pembangkang seperti Warisan, Pejuang, PSB dan ahli parlimen bebas tidak dilibatkan di dalam MoU tersebut. Jelas mereka, mereka tidak tahu sama parti-parti tersebut ada dijemput atau tidak. "Kami mengharapkan manfaat reformasi institusi termasuklah Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) dan perwakilan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) akan dipanjangkan juga kepada semua MP pembangkang dan bukan terhada kepada ahli parlimen PH sahaja. "Kami mengalu-alukan janji untuk menerbitkan butiran Persefahaman itu semasa majlis menandatangan agar rakyat Malaysia bukan sahaja dapat menjadi saksi kepada perjanjian tersebut bahkan dapat mempertanggungjawabkan mereka untuk memenuhi terma yang dijanjikan.” Menurut Bersih 2.0, walaupun dokumen bersejarah ini dipanggil Memorandum Persefahaman, pada dasarnya ia adalah Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) di mana pelaksanaan beberapa reformasi institusi dan polisi dipersetujui sebagai pertukaran kepada sokongan Pembangkang kepada Kerajaan untuk undi percaya dan RUU Belanjawan. Pembangkang bukan sebahagian daripada kerajaan dan bebas untuk undi menentang RUU lain jika mereka rasakan perlu, tambah mereka. "Kami ternanti-nanti kandungan MoU tersebut namun yakin bahawa tujuh paker reformasi yang ditawarkan oleh Ismail Sabri pada 10 September akan dimasukkan, ditambahkan lagi dengan reformasi yang PH utarakan. "Sebarang reformasi institusi yang dicapai daripada MoU ini akan memanfaatkan semua parti politik hari yang mendatang kerana ia akan meratakan padang permainan politik, dan mula menamatkan situasi yang menang dapat semua," kata mereka. Bersih 2.0 berkata, perjanjian ini akan memberi manfaat kepada rakyat apabila kerajaan, Parlimen dan institusi utama mula bekerja untuk dan melindungi kepentingan rakyat berbanding ahli politik. "Reformasi institusi menjamin semua parti bersaing secara adil dan mempunyai semak dan imbang yang mencukupi untuk mencegah penyalahgunaan kuasa dan korupsi," kata mereka.

Comments


bottom of page