BERSIH tolak desakan pihak dalam UMNO segerakan PRU-15
top of page
  • Wartawan Nabalu News

BERSIH tolak desakan pihak dalam UMNO segerakan PRU-15


27 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menolak desakan sebahagian pihak di dalam UMNO untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan segera.


Jawatankuasa Pemandu BERSIH turut menggesa semua parti untuk mewujudkan suatu konvensyen perlembagaan iaitu “Parlimen Berpenggal Tetap” dengan meneruskan Parlimen ke-14 sehingga 15 Julai 2023.


BERSIH juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdiri teguh dengan janji beliau untuk tidak mencampuri urusan kehakiman dengan menolak desakan PRU15 diawalkan.


“Beliau perlu ingat mandat beliau adalah daripada Parlimen dan bukannya UMNO.


“BERSIH merasa was-was dengan pembentangan Belanjawan 2023 yang dibawa ke depan selama tiga minggu pada 7 Oktober, menimbulkan spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan secara tidak bertanggungjawab keesokannya bagi memancing undi dengan tawaran mengiurkan tetapi tiada jaminan dalam belanjawan yang tidak diperbahaskan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


BERSIH turut menyelar mereka yang menuntut Perdana Menteri memohon ampun bagi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan membubarkan Parlimen.


Menurut kenyataan itu lagi, Perdana Menteri perlu segera melaksanakan reformasi utama bagi melindungi Malaysia daripada kleptokrat.


“Paling mustahak adalah pemisahan Pejabat Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menghapuskan pendakwaan terpilih dan kekebalan pendakwaan oleh Peguam Negara yang merupakan lantikan politik, di mana keputusannya mungkin dipengaruhi oleh pertimbangan politik.


“Jika selepas PRU15, Peguam Negara menarik balik pendakwaan ke atas Najib dalam keempat-empat kes yang  lain, tiada apa-apa yang boleh dibuat oleh hakim, dan Najib menjadi bebas selepas pengampunan atas kes SRC,” kata kenyataan itu.


Reformasi lain yang mendesak seperti undang-undang pembiayaan politik yang akan memberikan pendanaan awam kepada parti politik bagi mengurangkan kebergantungan kepada dana kotor, pelantikan jawatankuasa pilihan khas untuk meneliti setiap kementerian (“departmental commitee”) dan reformasi undi tidak hadir bagi pengundi luar negara dan luar kawasan bagi menaikkan peratusan keluar mengundi.


“Semua reformasi ini akan mengambil masa berbulan-bulan untuk dilaksanakan sekiranya semua pihak berkepentingan diberikan masa yang cukup untuk memberi input, maka Parlimen ke-14 ini perlu berlangsung sehingga 15 Julai 2023. Ini akan memulakan konvensyen “Parlimen Berpenggal Tetap” yang baharu.


“Dengan “Parlimen Berpenggal Tetap”, setiap parlimen akan bertahan sehingga penghujungnya dan pembubaran hanya dibenarkan dalam dua keadaan: (a) apabila kerajaan hilang keyakinan di Parlimen; dan (b) apabila dua pertiga parlimen bersetuju untuk pembubaran awal.


“Melalui “Parlimen Berpenggal Tetap”, tarikh pilihan raya biasanya adalah tetap. Ini akan menyumbang kepada kestabilan politik dengan tidak menggalakkan percubaan politik dan pengiraan yang singkat.


“Ini juga akan memudahkan orang ramai, terutamaya anggota polis, guru dan penjawat awam yang lain yang terlibat dengan pengurusan pilihan raya, malah wartawan juga, dalam merancang percutian keluarga malahan kenduri kahwin mereka,” kata kenyataan itu.


Jawatankuasa Pemandu BERSIH menyeru Perdana Menteri dan semua parti bekerjasama bagi membawa lebih banyak reformasi institusi yang diperlukan untuk kestabilan politik antara sekarang hingga 15 Julai 2023.

bottom of page