top of page

Bersikap jujur dan jangan memperkecilkan pemahaman rakyat Sabah

  • nabalunews
  • 46 minutes ago
  • 2 min read

ree

17 November 2025


KOTA KINABALU: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sepatutnya mendapatkan nasihat undang-undang berhubung status rayuan kerajaan Persekutuan dalam kes tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah, sebelum mengeluarkan kenyataan mengelirukan rakyat.


Selain itu, Anthony juga diingatkan supaya tidak memandang rendah kepada pemahaman rakyat Sabah berhubung isu berkenaan yang sudah berlanjutan lebih 50 tahun.


Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Nelson W Angang berkata, kenyataan bekas presiden, Sabah Law Society (SLS), Roger Chin jelas mengesahkan kerajaan Persekutuan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.


Katanya, tindakan rayuan terhadap keputusan mahkamah sebelum ini akan membawa implikasi besar dan berpotensi mencabar hak perlembagaan Sabah mengenai 40 peratus hasil Sabah.


“Kehadiran Datuk Ewon Benedick dalam mesyuarat khas kabinet tidak mengubah pendirian kerajaan Persekutuan untuk meneruskan rayuan tersebut.


“Anthony perlu jujur kerana beliau berada dalam kabinet. Ewon konsisten dan lantang menegaskan pendiriannya mengenai kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya memfailkan rayuan. Ini bukan perkara baharu, beliau berpegang teguh kepada prinsip MA63,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang terakhir dihadiri UPKO, semua pemimpin komponen PH ketika itu turut berpendirian tegas mahu meneruskan rayuan, tanpa memberi ruang kepada pandangan UPKO yang menolak langkah berkenaan.


“Melihat bagaimana pendirian kami diketepikan dan pandangan kami tidak dihormati, itulah titik perubahan yang meyakinkan UPKO bahawa sudah tiba masanya kami keluar daripada gabungan PH,” katanya.


Sementara itu, Nelson turut meminta semua pihak membaca dan memahami keputusan penghakiman dengan mendalam.


Katanya, kerajaan Persekutuan kini mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dengan meletskkan semua semakan pada tahun 2021, 2022 dan 2023 sebagai tidak sah.


“Ia sesuatu yang menurut Roger Chin boleh memberi kesan luas terhadap kedudukan tuntutan Sabah. Rayuan ini pada hakikatnya mencerminkan keengganan kerajaan Persekutuan membayar tunggakan sejak 1974.


“Itulah isu sebenar. Jika benar tidak ada apa-apa, mengapa perlu takut melaksanakan keputusan mahkamah?” katanya.


Menurutnya, rakyat Sabah mengetahui rayuan kerajaan Persekutuan berpotensi menghalang bayaran hasil 40 peratus bagi tempoh 50 tahun yang hilang itu.


“Saya cabar semua calon DAP untuk turun ke lapangan dan jelaskan kepada rakyat Sabah bahawa rayuan ini sebenarnya adalah mengenai tidak mahu membayar hak Sabah sejak 1974 atas alasan teknikal,” katanya lagi.


Nelson berkata, pendirian UPKO bukanlah menentang kerajaan Persekutuan, tetapi menentang keputusan yang dilihat tidak menghormati hak perlembagaan Sabah yang sudah tertangguh lebih lima dekad.


Katanya, Kerajaan Sabah yang baharu tidak perlu bersikap konfrontasi kerana kami menghormati kerjasama dengan kerajaan Persekutuan.


“Namun, kerajaan Persekutuan ada kuasa untuk menghormati keputusan Mahkamah Tinggi, melaksanakan arahan tersebut dan berunding dengan adil mengenai pembayaran.


“Proses rayuan yang berkemungkinan berlarutan hingga ke Mahkamah Persekutuan hanya akan menangguhkan lagi hak Sabah yang telahpun diputuskan oleh mahkamah.


“Jangan cuba mengelirukan rakyat Sabah. Kamu mengatakan tiada rayuan tetapi hakikatnya memang ada rayuan. Bersikap jujur dan jangan bermain dengan kata-kata. Jangan perkecilkan pemahaman rakyat Sabah,” tegasnya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page