top of page

Bertanding PRK bukan pertimbangan sertai PKR - Tengku Zafrul

  • nabalunews
  • 48 minutes ago
  • 1 min read

9 Jun 2025


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menjelaskan tiada sebarang perbincangan atau perancangan untuk terlibat dalam mana-mana pilihan raya kecil (PRK), sama ada peringkat Persekutuan mahupun negeri.


Menurut beliau, bertanding dalam PRK bukan sebahagian daripada pertimbangannya dalam membuat keputusan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).


“Saya sememangnya tidak bersetuju dengan konsep pencetusan PRK tanpa keperluan yang mendesak kerana PRK juga melibatkan masa dan duit rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.


Tengku Zafrul berkata, beliau akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Negara sehingga tamat tempoh perkhidmatan pada Disember tahun ini.


Berkenaan kedudukannya sebagai Menteri, katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


“Saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti. Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat.


"Selagi khidmat saya diperlukan, saya bersedia untuk terus menyumbang tanpa perlu kepada jawatan,” katanya.


Mengulas keputusan menyertai PKR, Tengku Zafrul berkata keputusan untuk meninggalkan UMNO adalah satu pilihan peribadi yang dibuat selepas pertimbangan teliti, dan bukan di atas sebarang paksaan oleh mana-mana pihak.


"Saya akui, ia bukanlah suatu keputusan yang mudah, namun saya telah menimbangkan semua pandangan dan pendapat yang diberikan dengan cukup mendalam,” katanya.


"Di dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi, setiap individu mempunyai hak untuk membuat pilihan peribadi, dan saya amat menghargai semua pandangan serta penerimaan terhadap keputusan ini," katanya.

Σχόλια


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page