Biasiswa “Silk Road” China kini dibuka kepada pelajar Malaysia, tawar tajaan penuh dan peluang kerjaya
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

15 Mei 2026
KOTA KINABALU: Kibing Group bersama Changsha University of Science and Technology (CSUST) dengan sokongan Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuka peluang kepada pelajar Malaysia untuk mengikuti pengajian di China menerusi Program Biasiswa Penuh Kerajaan China “Silk Road” bagi sesi pengambilan tahun 2026.
Pengerusi SBH Kibing Solar New Materials, Celine Li, berkata program berprestij itu menawarkan tajaan penuh kepada lima pelajar peringkat sarjana muda dan antara lima hingga 10 pelajar peringkat sarjana dalam bidang berkaitan tenaga baharu dan kejuruteraan.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan dilaksanakan di bawah Program Biasiswa Kerajaan China “Silk Road” yang diwujudkan oleh China Scholarship Council bagi menyokong pelaksanaan Inisiatif Belt and Road.
“Biasiswa berkenaan bertujuan melahirkan tenaga profesional dan pemimpin industri bagi negara-negara yang terlibat dalam Belt and Road Initiative (BRI), khususnya dalam bidang pembangunan tenaga hijau, ekonomi digital, kecerdasan buatan, kewangan, pengurangan risiko bencana dan pendidikan guru.
“Kibing Group turut menyediakan peluang latihan industri dan pekerjaan kepada pelajar Malaysia selepas tamat pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Ewon Benedick, di sini, hari ini.
Changsha University of Science and Technology yang terletak di Changsha, Wilayah Hunan, merupakan universiti utama di China yang terkenal dalam bidang pengangkutan, tenaga elektrik dan kejuruteraan hidraulik.
Sementara itu, UMS merupakan universiti awam di Sabah. Kibing Group pula syarikat pembuatan kaca berskala besar yang berpangkalan di Shenzhen dan tersenarai di Bursa Saham Shanghai dengan pengkhususan dalam industri kaca fotovoltaik, kaca seni bina dan kaca elektronik.
Celine berkata, bagi pengambilan tahun 2026, program yang ditawarkan ialah Ijazah Sarjana Muda dalam bidang New Energy Science and Engineering menggunakan bahasa Mandarin sebagai medium pengajaran, manakala program sarjana dalam bidang Power Engineering and Engineering Thermophysics ditawarkan dalam bahasa Mandarin atau bahasa Inggeris.
“Biasiswa penuh itu merangkumi yuran pengajian, penginapan, elaun sara hidup dan insurans perubatan komprehensif.
“Permohonan terbuka kepada pelajar sekolah menengah, pelajar universiti dan graduan baharu Malaysia yang memenuhi syarat akademik serta keperluan bahasa.
“Pemohon sarjana muda perlu memiliki sijil HSK Tahap 3 ke atas, manakala pemohon sarjana perlu mempunyai HSK Tahap 4 serta IELTS sekurang-kurangnya 5.5,” katanya.
Bagaimanapun, calon yang belum memiliki sijil berkaitan masih boleh mengikuti kursus bahasa Mandarin selepas mendaftar.
Permohonan dibuka mulai 7 Mei 2026 dan akan ditutup pada 22 Mei 2026, manakala keputusan dijangka diumumkan pada 31 Mei 2026.
Calon yang berminat perlu membuat pra-pendaftaran dengan Kibing Group sebelum menghantar dokumen permohonan secara dalam talian melalui platform antarabangsa CSUST.
Maklumat lanjut, hubungi wakil Kibing Group, Liew Yi Xuan menerusi WhatsApp di talian (+60)12-343 2463 atau e-mel ke yixuan.liew@kibingsolar.com.















Comments