COVID-19: SABAH MEREKODKAN 232 KES BAHARU, 18 DAERAH DALAM ZON MERAHCOVID-19: SABAH MEREKODKAN 232 KES BAHARU, 18 DAERAH DALAM ZON MERAH
top of page
  • Wartawan Nabalu News

COVID-19: SABAH MEREKODKAN 232 KES BAHARU, 18 DAERAH DALAM ZON MERAH



9 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Hampir semua daerah di Sabah dalam Zon Merah Covid dan sebanyak 232 kes positif baharu direkodkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 64,788 kes. Tiga kes kematian turut direkodkan hari ini iaitu di Tawau.


Daerah yang dikategorikan sebagai Zon Merah terdiri daripada Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Tuaran, Penampang, Kota Belud, Kudat, Putatan, Kalabakan, Semporna, Papar, Kinabatangan, Nabawan, Beaufort, Keningau, Kuala Penyu dan Kunak.


Kini hanya satu daerah yang berada dalam Zon Hijau iaitu di Beluran.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah jangkitan baharu hari ini, 127 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 55 kes adalah daripada saringan kluster, 25 kes adalah daripada saringan bergejala, sembilan kes daripada saringan bersasar dan 16 kes adalah daripada lain-lain kes.


“Berdasarkan pecahan kes pada hari ini, 11 daerah mencatatkan penurunan kes. Lapan daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka, tiga daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka iaitu Lahad Datu (-11), Papar (-11) dan Kunak (-10), manakala satu daerah lagi mencatatkan penurunan pada julat tiga (3) angka iaitu Kota Kinabalu (-122).


“Walau bagaimanapun, terdapat 10 daerah yang mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan sembilan daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala satu lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Tawau 36 kes (+16).


"Daerah Nabawan kekal catatan kes baharu sebagaimana hari kelmarin iaitu dengan tiga kes.


Beliau berkata, enam daerah mencatatkan sifar kes hari ini iaitu Beluran, Telupid, Kunak, Pitas, Kota Marudu dan Ranau.


“Penurunan yang agak ketara terjadi disebabkan berlakunya jangkitan kelompok yang besar dalam satu-satu masa, kemudiannya dikawal dan hanya menjangkiti kelompok tersebut tanpa sempat menyebar kepada komuniti.


Menurutnya lagi, kegagalan untuk mengekalkan jumlah Zon Hijau selain daripada perubahan angka yang sangat tidak statik bagi daerah bukan Zon Hijau menunjukkan terdapat kebarangkalian berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan.


Mengenai jumlah pesakit sembuh, beliau berkata, hari ini sebanyak 274 jumlah pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif 61,860 orang.


“Manakala 1,882 orang pesakit lagi sedang menerima rawatan iaitu 532 orang di hospital, dan 1,350 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam," katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page