Bina bangunan MAN di semua daerah, perkenal pengajian diploma di ILMAN - Ewon
- nabalunews
- Nov 27, 2023
- 1 min read

27 November 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, bangunan Mahkamah Anak Negeri (MAN) perlu dibina di semua daerah.
Selain itu katanya, pengajian diploma di Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) juga wajar diperkenalkan dalam usaha untuk memartabatkan MAN agar setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.
“Dalam Belanjawan Negeri 2024, selain perbelanjaan mengurus pembayaran elaun Ketua-Ketua Adat, peruntukan yang disediakan untuk ILMAN sebanyak RM370,010 dan peruntukan pembinaan bangunan MAN sebanyak RM1,750,000.
“Pada pandangan saya, ia sangat kecil berbanding dengan wawasan kita untuk mengangkat martabat MAN,” katanya ketika menyampaikan ucapan perbahasan Belanjawan Negeri 2024 pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.

Ewon berkata, ILMAN harus membangunkan modul pengajian sekurang-kurangnya Diploma Pengajian Undang-Undang Anak Negeri supaya graduannya boleh diserap menjadi Hakim atau Penguamcara Undang-Undang Anak Negeri atau ke jawatan tetap di MAN.
“Lantikan secara politik Ketua-Ketua Adat masih boleh diteruskan dengan persetujuan Wakil-Wakil Rakyat Kerajaan tetapi wawasan memartabatkan ILMAN dan MAN harus dijayakan bermula pengenalan pengajian peringkat diploma.
“Saya juga memohon agar peruntukan membina bangunan Mahkamah Anak Negeri dapat ditingkatkan termasuk mendapatkan peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan untuk memastikan setiap daerah di Sabah memiliki bangunan MAN sendiri termasuk di Kota Belud yang saya cadangkan dibina dalam kawasan Kadamaian,” katanya.
ความคิดเห็น