BN Sabah Tolak Kerjasama GRS Demi Pertahankan Maruah Politik – Suhaimi Nasir
- nabalunews
- Sep 6
- 2 min read

6 September 2025
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan keputusan Barisan Nasional (BN) Sabah menolak kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah langkah yang pahit namun perlu bagi mempertahankan maruah parti serta kepercayaan rakyat.
Menurutnya, tawaran yang diberikan kepada BN dalam rundingan pembahagian kerusi dianggap tidak adil.
Malah katanya, ia menjejaskan kedudukan BN yang sebelum ini memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
“Daripada 14 kerusi yang rakyat berikan kepada BN, hanya lapan ditawarkan semula. Lebih mengecewakan apabila ada pemimpin GRS menyatakan jumlah itu sudah terlalu banyak untuk BN.
“Itu bukan rundingan, sebaliknya ia adalah satu penghinaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Datuk Suhaimi berkata, beberapa kerusi tradisi BN seperti Tanjung Keramat, Pantai Dalit, Sugut, Sindumin dan Tempasuk dirampas melalui tindakan lompat parti yang menjadi ‘noda hitam’ dalam sejarah politik Sabah.
Katanya, GRS tidak mempunyai mandat rakyat kerana gabungan itu wujud selepas perubahan politik di peringkat Persekutuan, dan kewujudannya hanya bergantung pada ahli politik yang melompat parti demi kuasa.
“Lebih mulia berhadapan dengan musuh nyata daripada bersubahat dengan pengkhianat yang menikam dari belakang,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Suhaimi turut menekankan sumbangan BN Sabah dalam membangunkan infrastruktur asas dan kemudahan rakyat seperti sekolah, hospital, jalan raya serta peluang pendidikan kepada generasi muda.
Katanya, walaupun BN berdepan pelbagai cabaran politik, jasa parti itu tidak dapat dinafikan.
“Hari ini mereka cuba menghapuskan BN, tetapi BN tidak akan mati ditelan pengkhianatan. BN akan terus hidup meninggalkan jasa kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau turut mendakwa GRS kini terpalit dengan pelbagai isu termasuk skandal tanah, konsesi hutan, jet mewah dan lesen gelap, yang menurutnya menjejaskan kredibiliti gabungan itu di mata rakyat.
Datuk Suhaimi menegaskan bahawa BN Sabah memilih jalan yang sukar tetapi bermaruah dengan menolak kerjasama yang tidak ikhlas, meskipun berdepan risiko kehilangan kuasa.
“Lebih baik kita kehilangan kuasa seketika daripada hidup bersama pengkhianat yang hanya tahu menikam berulang kali. Percayalah, BN tidak akan berhenti berjuang untuk rakyat Sabah walau dihina atau disabotaj,” katanya.


















Comments