BN Sambut Baik Kesediaan GRS Bertembung Dalam PRN17
- nabalunews
- Jun 15, 2025
- 2 min read

15 Jun 2025
KOTA KINABALU: “Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan, kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) jika benar bersedia untuk bersaing secara demokratik, kami menyambutnya dengan terbuka”.
Demikian tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung kesediaan GRS menghadapi BN dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) menerusi kenyataan Datuk Armizan Mohd Ali, semalam.
Bung berkata, secara prinsipnya, kenyataan itu adalah manifestasi daripada dinamika biasa dalam sistem demokrasi berbilang parti.
Katanya, ia adalah pertembungan antara aktor politik yang beroperasi dalam ruang yang sama, namun berbeza asas legitimasi dan struktur keabsahan.
“Maka, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa, bahkan boleh dianggap sebagai perkembangan positif jika ditanggapi dalam kerangka persaingan idea dan dasar yang sihat.
“Namun demikian, perlu saya tegaskan bahawa UMNO BN Sabah tidak menyesuaikan kedudukannya semata-mata berdasarkan kenyataan pihak lain.
“Kita tidak menunggu lampu hijau daripada mana-mana pihak untuk menyatakan pendirian atau mengatur langkah
“Lebih penting daripada itu, kenyataan ini perlu dinilai dalam kerangka yang lebih luas iaitu soal keabsahan politik, autonomi strategik, dan kejujuran dalam kerjasama antara parti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Bung berkata, BN tidak menolak kerjasama, sebaliknya pihaknya tidak mahu bekerjasama hanya untuk menghiasi angka atau mengabsahkan kekuasaan yang rapuh.
“Kami mahu berkawan dan bekerjasama dengan mereka yang jujur bukan sekadar dalam perjanjian di atas kertas, tetapi jujur dalam pelaksanaan dasar, dalam menghormati peranan rakan, dan dalam memelihara integriti sistem politik.
“Kerjasama politik tanpa kejujuran ibarat membina rumah atas lumpur ia mungkin berdiri sebentar, tetapi pasti runtuh dalam ujian.
“BN tidak akan lagi membina di atas lumpur. Kami telah belajar, dan rakyat juga telah menyaksikan persefahaman yang tidak berpaksikan niat yang tulus hanya melahirkan kerajaan yang lemah, tidak konsisten, dan tidak diyakini,” katanya.
Menurutnya, pertembungan bukan sesuatu yang menakutkan dalam demokrasi, malah, ia adalah medan terbaik untuk menilai siapa sebenarnya mendapat kepercayaan rakyat berdasarkan kekuatan sendiri, bukan sokongan pinjaman atau formula pintas.
“Kepada rakyat Sabah, khususnya generasi muda dan kelas menengah yang semakin celik politik inilah waktunya untuk menilai semula landskap pilihan yang ditawarkan.
“BN Sabah hadir bukan dengan slogan, tetapi dengan rekod. Kita pernah memimpin negeri ini ke arah pembangunan. Kita juga pernah diuji. Kini, kita kembali dengan tekad untuk memperbaiki, bukan sekadar mengulangi.
“Dalam ilmu politik, legitimasi tidak datang dari jumlah kerusi semata-mata, tetapi dari keyakinan rakyat terhadap kejujuran perjuangan,” katanya.















Comments