Borneo.TV angkat naratif Sabah ke peringkat global
- nabalunews
- Jul 1, 2025
- 2 min read

1 Julai 2025
KOTA KINABALU: Sabah terus mengorak langkah dalam dunia penyiaran digital apabila
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melancarkan Borneo.TV, iaitu sebuah platform penstriman baharu yang mengetengahkan wajah, suara dan budaya negeri ke peringkat antarabangsa.
Platform dengan slogan “Cerita Sabah di Mata Dunia” (“Sabah in the Eyes of the World”)
itu bakal menjadi saluran utama menyampaikan kandungan sahih, dokumentari asli, seni budaya dan keindahan alam semula jadi Sabah melalui pendekatan digital yang
lebih moden, fleksibel dan global.
“Ini bukan sekadar pelancaran media digital, tetapi satu pentas untuk anak-anak Sabah
berkarya dan membentuk citra negeri melalui naratif sendiri,” katanya ketika berucap
pada Majlis Pelancaran Borneo.TV di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu pada Selasa.
Hajiji berkata, pelancaran Borneo.TV adalah langkah tepat dalam era media penstriman
Over-The-Top (OTT) yang tidak lagi bergantung kepada saluran konvensional, selain memberi peluang kepada pencipta kandungan tempatan menembusi pasaran lebih luas.
“Perubahan gaya hidup masyarakat hari ini- daripada komunikasi hingga hiburan,
segalanya dipacu digital. Borneo.TV adalah respons tepat kepada perubahan ini dan
peluang untuk kita tampil dengan kandungan sendiri,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri memberi sokongan penuh terhadap pelaksanaan
Borneo.TV kerana ia bukan sahaja platform penyiaran, malah medium strategik
menyampaikan cerita sebenar rakyat Sabah kepada dunia.
"Dunia penyiaran hari ini menuntut kreativiti, keberanian dan kepekaan terhadap
kehendak penonton. Saya mahu Borneo.TV jadi ruang untuk mencabar norma,
mengetengahkan idea baharu dan memperkenalkan wajah sebenar Sabah,” katanya.
Hajiji turut menegaskan bahawa para petugas Borneo.TV harus melihat tugas mereka
bukan sekadar rutin teknikal, tetapi sebagai satu bentuk seni kreatif yang membina imej
negeri. Kandungan yang diterbitkan mesti membawa nilai, identiti dan naratif yang
membina.
Beliau turut menyeru penggiat seni, pengaruh digital serta pemain industri kreatif
tempatan agar memanfaatkan Borneo.TV sebagai pentas mengetengahkan karya asli
dan suara masyarakat Sabah secara inklusif dan berwibawa.
Majlis itu turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara
Kerajaan Negeri diwakili oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dan IB Media
Consultant Work Sdn Bhd, syarikat pengendali Borneo.TV yang beroperasi tanpa
sebarang dana daripada kerajaan negeri.
“Model pelaksanaan ini membuktikan komitmen dan kepercayaan sektor swasta
terhadap potensi penyiaran digital di Sabah.
“Saya yakin pendekatan ini akan
meletakkan Borneo.TV sebagai platform yang berdaya saing dan mampan,” jelasnya.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Sekretariat SMJ dan IB Media atas
kejayaan merealisasikan pelaksanaan Borneo.TV di bawah Pelan Hala Tuju Sabah
Maju Jaya 1.0, yang menekankan pembangunan sektor ekonomi kreatif sebagai salah satu pemacu utama negeri.
“Saya menyeru semua pihak-kerajaan, swasta dan masyarakat, untuk bersama menyokong usaha ini dan menggunakan ruang ini untuk mencipta, berkongsi dan menyampaikan naratif Sabah sebagaimana yang kita sendiri mahu dunia melihatnya,” katanya.















Comments