Bot Tunda Langgar Syarat Sah Lesen Ditahan Maritim Malaysia
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

19 Januari 2026
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot tunda tempatan selepas dikesan tidak mematuhi syarat sah lesen.
Ketika ditahan kira-kira jam 8.30 malam itu, pasukan operasi mendapati juragan dan kru tidak mendaftarkan nama dalam lesen serta gagal memaklumkan pertukaran nakhoda.
Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Norihan Ngah berkata, bot berkenaan ditahan peronda Maritim Malaysia yang menjalankan OP PLUTO TIMUR, OP SEJAHTERA dan OP TIRIS.


Katanya, bot tunda yang ditahan di kedudukan 0.5 batu nautika selatan Kampung Muhibbah itu dinaiki tiga warga Indonesia berusia 53 hingga 55 tahun.
“Pemeriksaan dokumentasi bot mendapati juragan dan kedua-dua kru tidak mempunyai daftar nama pada lesen, tidak mempunyai sijil kompentensi serta gagal memaklumkan pertukaran nakhoda.
“Lesen bot tersebut seterusnya ditahan bersama juragan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952(MSO 1952) kerana didapati melanggar syarat sah lesen.
Sehubungan itu, Norihan menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana komuniti maritim yang gagal mematuhi undang-undang, walaupun melibatkan kesalahan yang dianggap kecil.
“Pemilik dan pengendali bot dinasihatkan supaya sentiasa peka dan mematuhi syarat lesen yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.
“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan penguatkuasaan dan mengoptimumkan operasi bagi membanteras sebarang aktiviti menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia, khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang salah laku jenayah di perairan Tawau diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.


















Comments