top of page

BSJND IPD Lahad Datu Tumpaskan 5 Kes Dadah dan Ketum dalam 2 Hari, 6 Ditahan

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


20 Mei 2026


LAHAD DATU: Sebanyak lima kes dadah dan ketum berjaya ditumpaskan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dalam tempoh dua hari pada 16 dan 17 Mei 2026, membawa kepada penahanan enam individu serta rampasan pelbagai jenis dadah dan bahan terkawal termasuk syabu, ketum dan ubat batuk.


Dalam serbuan berasingan di tiga lokasi utama iaitu Anjung Teduh, Kampung Puyut dan Kampung Perabot, pihak polis merampas keseluruhan 6.85 gram syabu bernilai RM553, 2.2 kilogram serbuk ketum, 10.5 liter air ketum serta lapan botol ubat batuk terkawal jenis Dynadryl. Tiga daripada enam yang ditahan didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine melalui ujian saringan.


Operasi yang dilaksanakan menerusi Op Tapis bermula 16 Mei, jam 9.30 malam, di Anjung Teduh Blok 07 Rumah No 125 menyaksikan seorang lelaki ditahan di ruang dapur dengan rampasan 1,400 gram serbuk ketum dan enam liter air ketum bernilai RM420, disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Hanya 30 minit kemudian di rumah No 124 blok sama, seorang lagi lelaki ditahan bersama 800 gram serbuk ketum, 4.5 liter air ketum dan lapan botol ubat batuk Dynadryl bernilai RM380, disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada 17 Mei, jam 11.00 pagi, seorang lelaki ditahan dalam keadaan mencurigakan di Kampung Puyut, Jalan Pantai dengan rampasan 0.32 gram syabu dan satu gulung kertas timah. Suspek positif Amphetamine dan Methamphetamine, lalu disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seterusnya jam 12.15 tengah hari di Kampung Perabot, Jalan Tengah Nipah, seorang lelaki dan seorang perempuan ditahan di beranda rumah dengan rampasan 5.53 gram syabu dalam 28 paket kecil bernilai RM553. Suspek lelaki positif dadah manakala suspek perempuan negatif, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Lahad Datu menegaskan tidak akan berkompromi dengan aktiviti dadah dan ketum. Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya ke BSJND IPD Lahad Datu di talian 089-881255, dengan jaminan kerahsiaan identiti pemberi maklumat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page