Budaya lompat parti perlu dihentikan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Budaya lompat parti perlu dihentikan


Senator Datuk Bobbey Suan

10 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Budaya lompat parti wajar dihentikan menerusi pembentukan undang-undang khusus yang melarang perbuatan itu seperti yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini dan di Dewan Negara, semalam.


Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bobbey Suan berkata, dengan adanya larangan itu, rakyat tidak perlu risau dengan budaya ketidaksetiaan seseorang pemimpin dan ia seterusnya membuka ruang kepada masyarakat memilih siapa dan apa yang terbaik untuk membela nasib mereka.


Beliau berkata, Sabah paling terkesan angkara budaya lompat parti disebabkan ketiadaan undang-undang khusus yang melarang Ali Dewan Undangan Negeri (ADUN) berpindah parti.


“Apa yang berlaku di Sabah itu perlu dijadikan pengajaran kerana kesan daripada amalan negatif itu menyebabkan mandat rakyat dikhianati.


“Saya yakin kelulusan Rang Undang Undang (RUU) berkenaan disambut gembira oleh rakyat di Sabah. Namun begitu, kita maklum bahawa larangan ini hanya meliputi Ali Parlimen sahaja, sebab itulah saya turut menyeru agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat memulakan cadangan ini dibawa dalam perbahasan di peringkat DUN masing-masing,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) mengenai larangan Ali Parlimen bertukar parti pada persidangan Dewan Negara, semalam.


Bobbey berkata, kelulusan RUU itu juga amat signifikan bagi memastikan Malaysia segera bergerak ke arah senario politik negara yang stabil serta memartabatkan semula demokrasi.


Belau berkata, Sabah sebelum ini mendahului dalam usaha melindungi demokrasi daripada penyakit berpindah parti melalui kelulusan RUU anti lompat parti di DUN pada 1988 namun dibatalkan selepas diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi kerana bercanggah dengan undang-undang persekutuan ketika itu.


“Selama beberapa tahun ini, kita menyaksikan pelbagai peristiwa yang menggoncang kestabilan politik negara berpunca daripada kejatuhan semangat kesepaduan khususnya dalam kalangan pemimpin politik tanah air.


“Siapa pernah menyangka, dalam masa dua tahun sahaja, kita telah menyaksikan tiga kali perubahan kerajaan di peringkat persekutuan, bahkan tiga kali pula kita melihat kerusi Perdana Menteri digilirkan. Keadaan ini bukanlah satu situasi yang sihat untuk Malaysia, baik dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.


"Tetapi disebabkan agenda politik individu dan kumpulan dalam pemain politik kita tidak kiralah demi kelangsungan agenda peribadi atau tujuan yang muni seperti memastikan rakyat jagaan selesa, tindakan segelintir pemimpin ini menyumbang kepada ketidakstabilan politik negara.


“Kesannya, disebabkan isu-isu seperti inilah Malaysia agak ketinggalan dalam meraih peluang ekonomi sama ada di peringkat global mahupun serantau," katanya.


Beliau berkata, berpindah parti tidak sama dengan penggabungan parti-parti politik, kerana berpindah parti oleh ahli-ahli Yang Berhormat yang dipilih oleh rakyat mengakibatkan jatuhnya kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat.


"Dengan pengenalan dan kelulusan RUU ini akan menghentikan perbuatan berpindah parti yang tidak bertanggungjawab ini dengan serta merta,” katanya.


Dewan Negara meluluskan rang undang-undang anti-lompat parti melalui undian belah bahagian.


Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata seramai 52 ahli Dewan Negara bersetuju dan tujuh ahli Dewan Negara tidak hadir.


RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.


Seramai 33 ahli Dewan Negara menyertai sesi perbahasan

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page