top of page

“Bukan sekadar tuaian padi” – Carlye wakili Ewon seru perpaduan di Pesta Kaamatan Tuguson

  • nabalunews
  • May 28
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


28 Mei 2026


KOTA BELUD: Pesta Kaamatan peringkat Kampung Tuguson hari ini berlangsung meriah dengan pelbagai acara tradisi dan kebudayaan, bermula 8 pagi hingga 5 petang, bertemakan “Bersama Memelihara Tradisi, Menyemarakkan Kaamatan”.


Carlye Lajimin, Setiausaha Politik kepada Datuk Ewon Benedick, Timbalan Ketua Menteri III, Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, ADUN Kadamaian serta Ahli Parlimen 174 Penampang mewakili perasmian dan menyampaikan maaf atas ketidakhadiran Ewon akibat komitmen lain


Dalam ucapannya, Carlye menegaskan bahawa sambutan Kaamatan bukan sekadar keramaian menyambut hasil tuaian padi, tetapi juga masa untuk bersatu padu dan menuai segala hasil kerja yang dilakukan.

Terdahulu, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pengerusi Pelaksana, Pouncin Kandar, diikuti ucapan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tuguson, Walter Sarudin.


Walter bersyukur kepada komuniti Kampung Tuguson yang hadir menunjukkan kesatuan tanpa mengira fahaman politik dan agama.


Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Ewon atas inisiatif membina Dewan Tamu Desa yang memberi keselesaan kepada komuniti untuk berniaga dan mengadakan aktiviti seperti pesta kaamatan.

Antara acara kemuncak termasuk persembahan Koir Kaamatan, tarian kebudayaan, persembahan juara Sugandoi kanak-kanak, cabutan tiket bertuah, Pertandingan Melastik, pertandingan Sukan Tradisi, Pertandingan Masakan Tradisi, Pertandingan Runduk Dizanak (Zandi Tabanus), Unduk, serta Pertandingan Bina Badan.


Komuniti juga mengambil kesempatan mengadakan jualan. Pihak Hospital Kota Belud turut memberi sokongan dengan mengadakan pemeriksaan kesihatan dan program derma darah.


Turut hadir, Ketua Kampung Tuguson, Charlie Lantukan, Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud, Jolyhame Saran serta pemimpin-pemimpin komuniti dari kampung sekitar.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page