“Buko Pandan" bawa tuah Koperasi SMK Desa Kencana Berhad Lahad Datu
top of page
  • Wartawan Nabalu News

“Buko Pandan" bawa tuah Koperasi SMK Desa Kencana Berhad Lahad Datu

17 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


SHAH ALAM: Produk minuman “Buko Pandan" berasaskan kelapa dan pandan membawa tuah kepada Koperasi SMK Desa Kencana Berhad Lahad Datu Sabah apabila dinobatkan johan Projek Terbaik keusahawanan koperasi sekolah dalam Program Young Entrepreneurs Strive For Success (YESS) Peringkat Kebangsaan 2023.


Dengan kemenangan itu, koperasi berkenaan menerima hadiah sebanyak RM10,000.


Produk ini menarik perhatian juri dengan idea berpasukan, daya kreativiti, serta disiplin tinggi yang ditunjukkan kumpulan pelajar.


Program YESS 2023, anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, bertujuan untuk memupuk budaya usahawan dalam kalangan pelajar dan membentuk sahsiah serta kemenjadian murid agar lebih proaktif, kreatif dan berdaya saing.

Program ini diadakan di Mardiyyah Hotel dan Suites, Shah Alam pada 14 hingga 16 November lalu.


Sebanyak 14 koperasi sekolah yang merupakan johan peringkat negeri, mewakili negeri masing-masing telah menyertai anugerah untuk merebut gelaran Johan Projek Terbaik Peringkat Kebangsaan.


Koperasi SMK Desa Kencana Berhad berjaya membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM10,000 sebagai johan projek terbaik.


Kemenangan ini juga mengulangi kejayaan yang pernah disandang oleh Sabah pada tahun 2016 sebagai johan projek terbaik koperasi dalam program yang sama.


Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Haji Zamri Salleh.


Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SKM Rusli Jaafar dan wakil Kementerian Pendidikan.

Malisah Sinin, hadir mewakili Pengarah SKM Sabah dan Yasmin sebagai Pengiring dan Pengurus Pasukan YESS Sabah.


Barisan kumpulan projek Time To Buko (TTB) terdiri daripada adik Zurhamkah, Nurul Ain Najiha, Siti Nurlaila Aqilah, Nur Ain Aziqah serta Cikgu Lelyana Hidayati selaku guru pembimbing, Koperasi SMK Desa Kencana.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page