Buku resipi tradisional pelbagai etnik dari Tempasuk diserahkan ke perpustakaan
1 Mac 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Dua buah buku resipi tradisional dari Kawasan Tempasuk Kota Belud telah diserahkan kepada Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, Fatimah Abdillah, baru-baru ini untuk rekod dan simpanan perpustakaan.
Buku-buku tersebut adalah hasil karya Vinnie Nursyahirah yang menghimpunkan 57 resipi masakan dan kuih tradisional daripada etnik Bajau Samah, Dusun Tindal, Iranun dan Rungus yang ada di kawasan Tempasuk.
Dua buku tersebut adalah ‘Buku 57 Resipi Kuih Tradisional Tempasuk Kota Belud Sabah - Siri 2’ dan juga ‘57 Recipes Traditional Delicacies Tempasuk of Kota Belud Sabah Series 1’.
Buku-buku tersebut diterbitkan oleh Persatuan Kebajikan Amal Kasih Kota Belud (PERKASIH) dengan kerjasama tim Jelajah Dapur Tempasuk dan komuniti Dewan Undangan Negeri Tempasuk.
"Selepas satu tahun proses penyiapan kedua-dua buku ini, akhirnya penerbitan berjaya direalisasikan sekali lagi selepas kejayaan siri pertama sebelum ini.
“Penyiapan Buku Siri 2 ini mengambil masa yang agak lama disebabkan kekangan masa untuk memberi fokus penulisan disebabkan tuntutan kerja-kerja hakiki yang lain. Walau bagaimanapun, dengan tekad yang tinggi akhirnya ‘Buku 57 Resipi Kuih Tradisional Tempasuk Kota Belud Sabah - Siri 2’ telah berjaya diterbitkan. Salah satu daripada buku tersebut adalah terjemahan dari Siri 1, bagi memenuhi permintaan dari pelbagai pihak," kata Vinnie dalam siaran akhbar.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Penasihat Akademik Siri 1, Datuk Maimunah Suhaibul dan Penasihat Akademik Siri 2, pensyarah Universiti Malaysia Sabah Ester Lazarus atas segala pandangan dan bimbingan.
Menurut Vinnie, penyunting utama buku-buku tersebut ialah Maslijan Abdul Rasad dari Dewan Bahasa dan Pustaka Negeri Sabah, yang banyak membimbingnya bersama Farawati Sabli untuk menerbitkan buku-buku tersebut.
Penerbitan buku-buku tersebut juga telah memberikan ruang kepada anak-anak muda dan graduan untuk berkarya dengan menghasilkan gambar-gambar menarik.
Sebagai rekod, sebahagian daripada jualan buku-buku ini akan disalurkan ke tabung kebajikan persatuan bagi membantu golongan yang memerlukan serta menampung kerjakerja amal.
“Saya juga berharap agar buku ini memberikan inspirasi kepada daerah-daerah lain untuk membukukan resipi-resipi masakan tradisional yang ada di kawasan masing-masing.
“Ini kerana dengan adanya buku-buku terbitan yang memaparkan kepelbagaian dan keunikan seni masakan warisan turun-temurun yang ada di Sabah, kita mampu memperkenal, mempromosi dan seterusnya mengangkat martabat budaya kita melalui seni masakan.
“Pendokumentasian buku ini dalam bentuk buku resipi juga akan membantu memelihara dan melestarikan seni masakan tradisi untuk warisan dan memberi manafaat sebagai bahan rujukan dan panduan.
“Makanan menggambarkan budaya dan identiti sesebuah masyaraka justeru marilah bersamasama mengenali, memperkenalkan dan memartabatkan masakan tradisional untuk diwarisi oleh generasi pada masa akan datang,” ujarnya.
Comments