Bunuh Dan Kerat: Siasatan Masih Peringkat Awal
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

18 Februari 2026
KOTA KINABALU: Kes bunuh dan kerat melibatkan mangsa wanita yang dibuang di tempat pembuangan sampah Indah Permai, di sini, masih dalam siasatan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, siasatan lanjut masih diteruskan termasuk usaha mencari dua lagi anggota badan mangsa yang masih belum ditemui.
Katanya, setakat ini tiada perkembangan baharu dapat didedahkan kerana siasatan masih di peringkat awal dan belum lengkap sepenuhnya.
"Kes masih dalam proses siasatan. Kita belum boleh dedahkan semua butiran lagi.
"Kertas siasatan akan dilengkapkan dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara selepas semua hasil siasatan diperoleh," katanya kepada media, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Op Selamat 25/2026 di Jalan Lintas, di sini, hari ini.
Menurutnya, tempoh reman terhadap tiga anak suspek utama adalah bergantung kepada keperluan siasatan semasa dan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan.
Katanya, pihak polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Mengulas mengenai dua lagi anggota badan mangsa yang belum ditemui, Syed Lot berkata, suspek ada memaklumkan lokasi pembuangan kepada polis.
"Ya, kita tahu lokasinya, namun pencarian masih dijalankan dan butiran tidak boleh didedahkan buat masa ini," katanya.
Operasi pencarian masih diteruskan walaupun sudah melebihi seminggu, bagi memastikan semua bukti penting dapat ditemukan bagi membantu siasatan lanjut.
Terdahulu, kes itu menggemparkan penduduk apabila beberapa bahagian anggota badan wanita ditemui dalam tong sampah dan sekitar kawasan rumah kedai di Taman Indah Permai oleh pekerja lori sampah kira-kira jam 6.30 pagi, pada Khamis lalu.
Susulan penemuan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun yang dipercayai suspek utama, sebelum tiga anaknya turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.














