Buruh ladang ditahan miliki bakakuk
- nabalunews
- Jul 11, 2025
- 1 min read

11 Julai 2025
TAWAU: Seorang buruh ladang disyaki memiliki selaras senapang patah buatan sendiri iaitu bakakuk ditahan polis dalam satu serbuan sekitar jam 8.30 malam di kawasan ladang Brumas, di sini, semalam.
Polis turut merampas tiga butir peluru hidup serta satu unit sarung senjata selepas suspek, 40an, menunjukkan lokasi bakakuk itu disembunyikan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) IPK Sabah bersama sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan.
"Tangkapan itu adalah hasil maklumat awam mengenai kegiatan mencurigakan di kawasan berkenaan,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Balai Polis Bombalai untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen.
Lelaki itu turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah.
Mengulas lanjut, Jasmin menegaskan polis tidak akan berkompromi membanteras pemilikan senjata api secara haram dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang didapati melanggar undang-undang.
Dalam kes lain, katanya, seorang lelaki warga asing, 20an, ditahan ketika sedang mengutip buah kelapa sawit secara haram sekitar jam 1.30 petang di sebuah ladang di Serudong Laut, Kalabakan, semalam.
Menurutnya, penahanan suspek membawa kepada penemuan 86 tandan buah kelapa sawit curi bernilai RM2, 000, selain rampasan sebatang tombak dan penyodok dipercayai digunakannya dalam kegiatan tersebut.
Jasmin berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.















Comments