top of page

Budi Diesel: Kerajaan teliti mekanisme guna MyKad

  • nabalunews
  • 7 days ago
  • 1 min read

8 April 2026


PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti mekanisme sesuai bagi agihan Budi Diesel termasuk penggunaan MyKad bagi tujuan pemberian subsidi bahan api berkenaan.


Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Kementerian Kewangan telah diarahkan untuk meneliti mekanisme itu sebelum diputuskan oleh Jemaah Menteri kelak.


Katanya, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah membincangkan beberapa perkara susulan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang berlangsung semalam.


“Beberapa ikhtiar akan disusuli termasuk apa yang telah diumumkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengenai memanfaatkan sistem MyKasih dan penggunaan MyKad bagi tujuan pemberian subsidi termasuk bagi diesel untuk rakyat Malaysia.


“Mekanisme ini akan diteliti oleh MoF dan akan diputuskan di Jemaah Menteri sebelum diumumkan secara muktamad kelak,” katanya pada sidang akhbar mingguan Kabinet dan Taklimat Khas Harian Krisis Tenaga Global hari ini.


Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata mesyuarat hari ini turut membincangkan isu dihadapi golongan nelayan yang terkesan dengan kenaikan harga diesel.


Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah diminta mengambil tindakan susulan.


“Ia termasuk mengambil kira perbezaan antara harga diesel bersubsidi dan juga pulangan hasil yang dinikmati serta diterima oleh nelayan,” katanya


Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut mempertimbangkan penempatan anggota keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) di stesen minyak kawasan sempadan bagi memperkukuh aspek keselamatan.


Jelasnya, Jemaah Menteri juga dimaklumkan oleh KPDN berhubung siri penahanan yang telah dilakukan khususnya di stesen-stesen minyak di sempadan negara, justeru beberapa aspek melibatkan keselamatan perlu dipertingkat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page