Cabaran mengurus jenazah Covid-19
17 Nov 2021
Oleh Ilona Andrew
PENAMPANG: Sudah 21 tahun bekerja dalam bidang pengurusan jenazah, tetapi tidak pernah merasa kepenatan dan kesibukan yang teramat sehingga mendapat pengalaman mengurus jenazah pesakit positif Covid-19.
Itulah luahan seorang pengurus jenazah, Rayner George atau lebih mesra dikenali sebagai Roy, yang bekerja di bawah 3M Popular Undertaker Services, sebuah syarikat perkhidmatan pengurusan mayat seluruh Sabah.
Oleh kerana wajib memakai peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap semasa menguruskan pengebumian mayat, perasaan ingin pitam dan sesak nafas merupakan perkara biasa.
Selain itu, oleh kerana angka kematian Covid yang kian menaik pada satu masa, Roy dan pasukannya tidak dapat tidur dengan lena dan perlu sentiasa dalam mod bersedia sekiranya terdapat pengurusan jenazah yang perlu dilakukan.
Walaupun mencabar, beliau dan pasukannya tetap menggalas tanggungjawab itu bagi membantu mengurangkan bebanan tugas anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mengimbas kembali kenangan pertama kali mengurus jenazah tahun lalu, jika tidak silap saya, terdapat lebih dari 30 orang yang meninggal akibat Covid di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dalam masa sehari.
“Semasa mula mengganasnya jangkitan Covid di Sabah, dalam satu hari boleh mencecah tiga hingga empat jenazah yang perlu dikebumikan. Tetapi pada ketika ini di mana kes harian sudah mula menurun di Sabah, hanya satu atau dua sahaja jenazah Covid-19 yang kami uruskan dalam masa seminggu.
“Setiap kali pengurusan, kami perlu mengenakan PPE sambil menunggu salah seorang ahli keluarga si mati untuk datang membuat pengesahan. Mereka hanya dibenarkan untuk melihat mayat itu melalui tingkap.
“Setelah selesai, tugas pengurusan jenazah akan diserahkan kepada kami. Mayat pesakit Covid tidak boleh dimandikan dan akan terus disimpan dalam plastik sebelum dimasukkan ke dalam keranda,” katanya menceritakan pengalamannya semasa ditemui wartawan Nabalu News di kediamannya, baru-baru ini.
Menurut Roy yang merupakan anak kelahiran Penampang itu, mayat pesakit Covid perlu dikebumikan sepantas mungkin bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Tambahnya, detik yang paling mencabar bermula ketika proses pengusungan jenazah di mana kesemua proses pengebumian dilakukan sepenuhnya oleh pihak undertaker tanpa bantuan pihak lain.
“Kami yang akan mengurus, mengusung, menggali dan menimbun tanah sehingga proses itu selesai. Biasanya, kerja penggalian akan dilakukan oleh pihak tanah perkuburan kecuali mereka kekurangan pekerja.
“Walaupun cuaca panas terik dan kami berpeluh teruk atau rasa sesak nafas, lebih-lebih lagi ketika proses mengusung keranda, kami tetap terpaksa bertahan memakai PPE selagi proses belum selesai.
“Selepas selesai, KKM akan melakukan proses sanitasi ke atas kesemua petugas undertaker sebelum menyerahkan PPE yang sudah dipakai kerana ia tidak boleh dibuang sembarangan,” jelasnya.
Antara pengalaman perit yang paling tidak boleh dilupakan Roy adalah ketika berjalan kaki mengusung keranda sejauh dua kilometer sambil mengenakan PPE kerana tiada jalan yang boleh dimasuki kenderaan ke tanah perkuburan tersebut.
Beliau berkata, pasukannya terpaksa membuat perhentian sebanyak empat kali akibat jarak yang jauh dan rasa penat yang tidak terhingga.
“Dengan mengenakan PPE, perasaan bercampur aduk seperti lesu, haus, sesak nafas, malah rasa ingin mati akibat terlalu penat membuatkan proses tersebut terhenti beberapa kali.
“Perasaan ingin membuka PPE untuk menghirup udara sangat kuat pada masa itu, tetapi pada masa yang sama, kami tetap takut untuk melakukan demikian walaupun sesaat kerana risau akan jangkitan Covid,” ujarnya.
Roy juga pernah berdepan situasi di mana beliau terpaksa memangku tanggungjawab sebagai ahli keluarga kepada pesakit Covid yang meninggal dunia.
Ini kerana keluarga kepada si mati tidak dapat datang untuk mengurus kematiannya akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain itu juga, terdapat beberapa situasi di mana keluarga tidak mampu membayar perkhidmatan undertaker atas kematian ahli keluarga mereka yang mengejut akibat Covid.
Bagi pengurusan jenazah Covid-19, Roy mendedahkan bahawa bayaran keseluruhan perkhidmatan mereka kebiasaannya dalam lingkungan RM4,800 sehingga RM9,800, bergantung kepada jenis keranda.
Perkhidmatan ini juga termasuk pengangkutan, penyediaan bingkai gambar, banting, salib tanda nama (bagi yang beragama Kristian), karangan bunga, dan sebagainya.
“Walaupun caj perkhidmatan kami dalam lingkungan harga ini, kami akan mengutamakan sikap toleransi terhadap keluarga yang kurang berkemampuan kerana kami faham akan kesusahan mereka ini, lebih-lebih lagi ketika musim pandemik Covid-19.
“Oleh itu, kami cuba mengurangkan caj perkhidmatan. Ada satu masa itu, kami pernah mengurangkan caj sehingga RM1,000,” katanya, sambil menambah setakat ini, syarikat itu sudah mengurus lebih kurang 150 jenazah pesakit Covid.
Roy juga menyatakan bahawa syarikat undertaker itu terpaksa menanggung kos perbelanjaan PPE bagi menjaga kesihatan dan kebajikan pekerjanya kerana ia tidak disediakan oleh pihak KKM.
“Oleh kerana sudah melalui pelbagai pengalaman dan kesukaran dalam mengurus jenazah Covid, saya ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Terlalu sedih melihat begitu ramai orang meninggal kerana virus ini. Oleh itu, saya berharap semua orang boleh bekerjasama dalam memerangi penyakit ini,” katanya.
Roy yang kini mempunyai dua orang cahaya mata memulakan pekerjaannya di syarikat ini sejak berumur 18 tahun atas minat beliau dalam pengetahuan forensik.
Ujarnya, bukan semua orang boleh bertahan dengan pekerjaan ini kerana bukan sahaja ia mencabar dari segi fizikal dan emosi, ia juga memerlukan keberanian dan pegangan rohani yang kukuh.
“Saya tidak pernah ada pengalaman pelik (paranormal) sepanjang kerjaya saya ini, tetapi kejadian ‘keteguran’ seperti pening dan lemas itu sudah biasa terjadi. Bila itu berlaku, saya akan berdoa sahaja.
“Jika ada sesiapa yang ingin memasuki bidang kerja ini, saya nasihatkan agar perlu bersedia dari segi mental dan fizikal.
“Sudah ramai yang pernah mencuba kerja ini, tetapi ramai yang berhenti dalam jangka masa yang pendek, bukan sebab gaji tidak cukup tetapi tidak tahan dengan kepenatan kerja ini,” jelasnya.
Roy juga menasihatkan mereka yang ingin menceburi bidang kerja ini agar mendalami pengetahuan tentang budaya di Sabah kerana di setiap daerah di Sabah terdapat adat yang berbeza yang perlu dihormati.
Comments