Cabaran sengit di Penampang, Ewon mahu terus kerja keras menangi sokongan rakyat
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Cabaran sengit di Penampang, Ewon mahu terus kerja keras menangi sokongan rakyat


Ewon ketika ditemui pemberita selepas program itu.

9 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Cabaran sengit merebut kerusi Parlimen Penampang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak melunturkan semangat calon Pakatan Harapan Datuk Ewon Benedick terus bekerja keras memenangi sokongan rakyat.


Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata, beliau perlu bekerja keras memastikan semua isu yang dibangkitkan parti lawan dapat diperjelaskan dengan baik kepada rakyat Penampang.


“Saya mengambil kesempatan memberi penjelasan kepada rakyat Penampang pelbagai isu yang dibangkitkan oleh mereka pada pilihan raya ini termasuk Blok Borneo, Reset Sabah dan kepentingan gabungan parti tempatan Sabah.


“Selain itu saya juga menjelaskan tawaran atau aspirasi saya kepada rakyat Penampang setiap kali mengadakan pertemuan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Ramah Mesra Bersama Calon PH Parlimen Penampang, di Kg.Tindai Kolopis, di sini, hari ini.


Bagaimanapun Ewon mengakui penerimaan rakyat Penampang semakin positif.


“PRU15 di Penampang satu cabaran besar bagi saya. Walaupun saya memulakan perkhidmatan kepimpinan sejak 2006 di Kg.Maang namun dari segi penglibatan semula secara aktif, baru beberapa minggu saya bersama rakyat di sini.


“Berbanding dengan Darell (Datuk Darell Leiking) yang sudah menjadi Ahli Parlimen hampir 10 tahun dan wakil rakyat di sini, sudah tentu beliau dikenali ramai rakyat Penampang.


“Begitu juga dengan Kenny Chua, beliau pernah menjadi wakil rakyat di Inanam dan Ketua Cabang PKR di Penampang sebelum ini.


“Saya akui saya adalah calon ‘underdog’ dan perlu bekerja keras memberikan penjelasan kepada rakyat Penampang tentang tawaran PH dan saya sebagai Ahli Parlimen Penampang jika diberi mandat,” katanya.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, sejak beberapa hari berkempen di Penampang, sokongan dan penerimaan rakyat semakin positif.


“Penerimaan rakyat Penampang, Kapayan dan Moyog semakin positif. Kini ramai yang sudah kenal calon PH Parlimen Penampang, saya bertemu dengan saudara mara, rakan sekolah serta kerjasama daripada pasukan Pakatan Harapan Penampang yang terdiri daripada UPKO, DAP dan PKR, disokong oleh Parti Muda dan badan-badan bukan kerajaan,” katanya.


Katanya lagi, keyakinan pengundi Penampang itu juga mungkin disebabkan rekod cemerlangnya sebagai wakil rakyat Kadamaian selama ini.


“Saya menjadi wakil rakyat Kadamaian dua tahun dalam kerajaan dan dua tahun di luar kerajaan, sehingga hari ini saya tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai Adun Kadamaian.


“Walaupun berada di luar kerajaan, saya masih turun padang bertemu rakyat Kadamaian secara konsisten.


“Pusat Khidmat Adun Kadamaian juga masih beroperasi seperti biasa dan saya mempunyai empat pegawai urusetia di sana untuk membantu memberikan khidmat kepada rakyat Kadamaian, ketika ini.


“Saya sering mengatakan kepada rakyat Penampang bahawa, saya sudah melakukan yang terbaik untuk rakyat Kadamaian iaitu daerah ibu saya, tiada sebab saya tidak dapat melaksanakan yang terbaik untuk Penampang iaitu daerah kelahiran bapa saya,” katanya yang mahu menunaikan tanggungjawab sebagai seorang anak dengan memberikan khidmat terbaik untuk rakyat di kedua-dua daerah ibu bapanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page