top of page
  • Wartawan Nabalu News

Cadangan bentuk kerajaan untuk kaum tertentu sahaja tidak masuk akal, kolot - Pemuda UPKO


19 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Cadangan menubuhkan kerajaan berasaskan satu kaum dan agama akan meletakkan negara dalam keadaan yang sangat bahaya.


Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda UPKO Malaysia, Felix Joseph Saang berkata, ia bukan saja menimbulkan masalah tetapi juga meruntuhkan ikatan perpaduan yang dibina selama ini.


Katanya, umum mengetahui, Malaysia dibina dengan dokongan pelbagai kaum dan perkara asas itu tidak sepatutnya dipertikaikan.


“Perlu diingat, negara kita terbentuk atas persefahaman pelbagai masyarakat yang berlainan bangsa, kaum, adat resam, kepercayaan dan agama.


“Saya amat yakin masyarakat Sabah Sarawak akan menolak idea atau cadangan tersebut sekeras-kerasnya kerana ia boleh dianggap tidak masuk akal dan kolot,” kata Felix.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang menggesa mewujudkan kerajaan Islam Melayu tanpa DAP di Selangor dan Negeri Sembilan.


Felix berkata, sejak penubuhan Malaysia pada tahun 1963, kita sudah mengamalkan sistem demokrasi dalam negara.


Katanya, beliau tidak dapat melihat di mana logiknya untuk memberi cadangan hanya kaum tertentu saja yang boleh memimpin negara ini.


“Perlembagaan Malaysia juga memberikan hak dan kebebasan kepada seluruh rakyat Malaysia.


“Kenapa pula timbul cadangan untuk menyekat hak dan kebebasan bangsa lain dalam negara kita,” tegasnya.


Sehubungan itu, Felix berkata, pihak berkuasa perlu memantau dan mengambil tindakan terhadap gerakan-gerakan politik ekstrem seperti ini.


Katanya, ia jelas digunakan oleh beberapa pihak yang jelas hanya menggunakan isu kaum dan agama untuk kepentingan politik mereka.


“Ia perlu dicegah lebih awal sebelum menjadi parah kerana tindakan ini hanya akan merugikan negara termasuk masa depan anak muda,” katanya.



Comentarios


bottom of page