Cadangan Blok Parti Sabah dan Sarawak idealistik, tapi ambil masa lama untuk jadi realiti - Ewon
nabalunews

1 September 2021
PENAMPANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyatakan cadangan mengujudkan blok parti Sabah dan Sarawak merupakan satu cadangan yang sangat idealistik tetapi mengambil masa yang lama untuk menjadi realiti.
Menurut beliau, realiti politik hari ini berdasarkan kepada sejarah di Parlimen dan kedua-dua negeri dalam tempoh beberapa tahun ini tidak memungkinkan cadangan tersebut terlaksana kerana sentiasa ada perbezaan di antara kepimpinan Sabah dan Sarawak.
“Ianya satu mimpi yang sangat indah dan mungkin diimpikan oleh hampir semua rakyat Sabah dan Sarawak. Saya sendiripun mahukan mimpi ini jadi kenyataan. Tetapi realitinya, ia tidak akan terlaksana dalam beberapa tahun ini, ianya akan ambil masa yang lama untuk terlaksana,” katanya.
Menurut Ewon, Ahli-Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak mempunyai peluang pada tahun 2019 untuk menunjukkan kesatuan blok kedua-dua negeri semasa usul pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan dibentangkan di Parlimen.
“Usul pindaan Perkara 1 (2) dibentangkan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai equal partners dengan Persekutuan Tanah Melayu atau dikenali kini sebagai Semenanjung Malaysia, bukannya sebagai dua daripada 13 negeri yang disebut dalam perkara itu hari ini. Pindaan itu sepatutnya mengembalikan kandungan asal sepertimana pada tahun 1963.
“Namun kesemua Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Ahli Parlimen UMNO Sabah tidak menyokong usul tersebut. Peluang mengujudkan blok Sabah dan Sarawak di Parlimen terbentang luas dan tersedia untuk dilaksanakan pada ketika itu, tetapi hakikatnya Ahli-Ahli Parlimen di kedua-dua negeri ini sendiri yang tidak mengambil peluang untuk merealisasikan impian mengujudkan blok tersebut,” katanya.
Ewon yang juga merupakan Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyatakan bahawa pengujudan blok politik Sabah dan Sarawak bukan satu-satunya platform atau inisiatif yang boleh menjayakan pelaksanaan Perjanjian Malaysia dan pengembalian hak dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia berdasarkan kepada insiden usul tersebut.

“Jika kita amati parti yang menyokong usul di Parlimen tersebut, kesemua Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan yang terdiri daripada parti PKR, DAP dan AMANAH menyokong usul bagi mengembalikan hak asal Sabah dan Sarawak tersebut sebagai equal partners yang menubuhkan Malaysia.
“Justeru, keputusan UPKO menyertai secara rasmi Pakatan Harapan adalah tindakan yang betul kerana akhirnya blok ini yang lebih memahami aspirasi Sabah berbanding dengan Ahli-Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak yang sendiri tidak menyokong usul tersebut.
“Malah Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan PAS juga tidak menyokong usul tersebut. Hari ini kedua-dua parti ini merupakan komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membentuk Kerajaan Negeri Sabah. Adalah sangat janggal parti-parti yang tidak menyokong hak Sabah boleh menjadi parti pemerintah di Sabah.
“Malah tidak hairanlah jika ada portfolio menteri yang menjaga hal Sabah dan Sarawak tidak dapat menjayakan Perjanjian Malaysia dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan. Tidak hairanlah Datuk Maximus Ongkili gagal menjayakan ini dalam tempoh enam bulan pertama beliau menjadi menteri sepertimana dijanjikannya sehinggalah kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang sendiri disebabkan masalah yang dicetuskan parti komponen mereka sendiri iaitu UMNO, hak Sabah ini masih belum dikembalikan atau diselasaikan.
“Saya tidak nampak sasaran 100 hari kepada setiap menteri di bawah Perdana Menteri yang ada sekarang juga akan dapat mengembalikan hak Sabah tersebut kerana UMNO dan PAS tidak akan menyokongnya sepertimana sebelum ini,” kata Ewon.
Menurut Ewon, penyertaan UPKO dalam Pakatan Harapan adalah berdasarkan kepada prinsip equal partners, bukannya sebagai adik bongsu dan menjadi tanggungjawab kepada UPKO untuk memperkasakan sokongan parti-parti komponen Pakatan Harapan yang lain terhadap hak-hak Sabah.
“Kesemua Ahli Parlimen Pakatan Harapan menyokong hak Sabah dikembalikan sepertimana sokongan mereka terhadap usul pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan di Parlimen pada tahun 2019. Jadi peranan UPKO kini adalah memperkasakan sokongan mereka ke atas pengembalian hak-hak Sabah yang lain supaya bukan hanya Perkara 1 (2) tetapi banyak Perkara lain dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia itu dapat dijayakan melalui kerjasama dan sokongan berterusan Ahli-Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan.
“Sebagai equal partner dalam Pakatan Harapan, selain daripada berkerjasama dan menyokong agenda-agenda reform untuk negara dan rakyat, UPKO akan terus membawa agenda Sabah mengikut Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan untuk disokong oleh parti-parti komponen Pakatan Harapan,” katanya.
Ewon menyatakan demikian dalam webinar Aspirasi UPKO Bersama Pakatan Harapan sebentar tadi.
Webinar tersebut dihoskan oleh Setiausaha Agung UPKO, Nelson Angang dan panelis terdiri daripada Presiden UPKO Datuk Madius Tangau, Timbalan Presiden Datuk Donald Mojuntin dan Ewon.
Comments