top of page

Cadangan Pemilihan Ketua Kampung, Pengerusi JKKK Secara Undian Timbulkan Perdebatan Komuniti

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

ree

8 Disember 2025


KOTA BELUD: Cadangan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, mengenai pemilihan Ketua Kampung serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melalui undian komuniti terus menjadi perbualan hangat dalam kalangan penduduk Kadamaian. Kenyataan beliau di Kadamaian semalam membuka ruang perbincangan luas tentang praktikaliti, kelebihan serta cabaran cadangan itu.

Maikat Gindara
Maikat Gindara

Bekas Guru Besar, Maikat Gindara dari Kampung Kelawat, menyatakan pandangan seimbang. Menurutnya, cadangan undian mempunyai kebaikan, namun tidak terlepas daripada kelemahan.


Beliau merujuk kenyataan Ewon yang menegaskan bahawa hanya calon daripada parti yang menyokong kerajaan dibenarkan bertanding. Justeru, menurut Maikat, kempen tetap diperlukan bagi memastikan kemenangan calon disokong kerajaan, dan faktor hubungan kekeluargaan dilihat masih mempengaruhi keputusan undian di peringkat kampung.

Fendi Rajin
Fendi Rajin

Sementara itu, usahawan Fendi Rajin dari Kampung Tambulion Laut menyokong penuh cadangan tersebut.


Katanya, proses undian memerlukan garis panduan khusus merangkumi syarat umur, tahap pendidikan, status penduduk tetap dan sokongan kepada kerajaan sebagai pra-kelayakan. Syarat ini, tegasnya, penting bagi memastikan pengurusan kampung berjalan lebih teratur dan efektif.

Maison Bansai
Maison Bansai

Penduduk Kampung Gensurai, Maison Bansai, pula memberikan pandangan lebih terperinci, terutamanya dari sudut perundangan.


Beliau menegaskan bahawa undian komuniti mempunyai nilai demokrasi, namun ia mesti selari dengan Ordinan Ketua Kampung (Cap.132) yang kini menetapkan pelantikan Ketua Kampung sebagai kuasa Kerajaan Negeri melalui kementerian dan pejabat daerah. Tanpa pindaan undang-undang, pelaksanaan undian boleh menjadi ultra vires.


Maison berpendapat, jika kerajaan mahu memperkenalkan kaedah undian secara rasmi, garis panduan standard perlu diwujudkan melalui pekeliling, manakala pindaan kepada Ordinan Cap.132 adalah wajib. Beliau juga menekankan kepentingan menetapkan punca kuasa pentadbiran dan perbelanjaan, termasuk kos logistik, pemantauan dan penguatkuasaan, yang harus diluluskan sama ada oleh Kabinet Negeri atau Dewan Undangan Negeri.

Anichlose Kesimin
Anichlose Kesimin

Mantan Pemaju Mukim Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Anichlose Kesimin, turut tampil memberi pandangan.


Secara peribadi, beliau melihat undian sebagai kaedah yang selari dengan amalan demokrasi negara, terutama di Sabah. Namun, beliau mengakui bahawa sistem lantikan juga masih relevan bagi kawasan yang tidak mahu pertandingan demi memberi laluan kepada individu yang telah lama berkhidmat.


Beliau menambah bahawa undian juga berpotensi memberi kelebihan kepada calon yang mempunyai keluarga besar dalam komuniti, sesuatu yang menurutnya tidak dapat dielakkan. Oleh itu, sama ada undian atau lantikan, kedua-duanya mempunyai pro dan kontra tersendiri.


Cadangan Ewon ini dilihat membuka ruang kepada proses pemerkasaan komuniti, namun pelaksanaannya memerlukan keselarasan undang-undang, mekanisme pentadbiran yang jelas dan penerimaan komuniti secara menyeluruh. Perbincangan masih berjalan, namun jelas bahawa isu ini telah mencetuskan wacana penting tentang masa depan struktur kepimpinan kampung di Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page