• Wartawan Nabalu News

CADANGAN PENUBUHAN LEMBAGA MINYAK SAWIT SABAH AKAN DIKAJI: JOACHIM



21 DIS 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian akan melakukan kajian secara terperinci berkaitan cadangan penubuhan Lembaga Minyak sawit Sabah.


Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr.Joachim Gunsalam berkata, kajian itu perlu kerana penubuhan agensi baharu akan melibatkan kos tertentu, penggubalan fungsi dan polisi, perancangan dan perlaksanaan program dan aktiviti.


“Buat masa ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia atau lebih dikenali sebagai MPOB merupakan satu-satunya badan tunggal yang bertanggungjawab dalam merancang, menyelidik dan membangunkan industri minyak sawit dan kelapa sawit di Sabah dan Malaysia amnya,” katanya dalam sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.


Beliau menjawab soalan Adun Elopura Chong Ket Kiun yang bertanya mengapa sehingga kini negeri Sabah tidak mempunyai Lembaga Minyak Sawit (Palm Oil Board) yang bertanggungjawab dalam pembangunan dan mempromosikan industri minyak kelapa sawit di seluruh Malaysia.

Joachim berkata cadangan penubuhan Lembaga Minyak Sawit Sabah adalah perlu dan tepat pada masanya demi memastikan industri kelapa sawit negeri dapat dipantau dengan lebih teratur dan efisien.


“Saya difahamkan cadangan menubuhkan Lembaga Minyak Sawit Sabah pernah dibangkitkan oleh mantan menteri yang menerajui kementerian saya sekarang. Kita sedia maklum bahawa pentadbiran kerajaan yang ada sekarang ini baru sahaja ‘berusia’ lebih kurang 3 bulan, maka cadangan penubuhan lembaga itu masih belum dapat diberi pertimbangan sewajarnya.


“Namun kerajaan melalui kementerian saya akan melakukan kajian mengenai cadangan penubuhan Lembaga Minyak sawit Sabah secara terperinci,” katanya.


Joachim berkata, kerajaan mengambil perhatian ke atas isu penubuhan Lembaga Minyak Sawit Sabah.


“Badan seumpama ini diperlukan untuk memberi fokus kepada pembangunan industri kelapa sawit terutama ke arah memperkasakan pemprosesan hiliran produk berasaskan minyak kelapa sawit,” katanya.


Beliau berkata, ketika ini, tanaman kelapa sawit mempunyai keluasan 1.3 juta hektar atau meliputi hampir 90 peratus daripada kesemua tanah pertanian Negeri Sabah.


“Ini meletakkan Sabah sebagai penyumbang terbesar tunggal kepada industri minyak sawit Malaysia dengan 29.7 peratus daripada kesemua ladang kelapa sawit di Malaysia terletak di sini.


“Sektor ini menyumbang hampir RM2.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2019. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri memperolehi pendapatan sebanyak RM798.57 juta daripada cukai jualan minyak sawit mentah (CPO) kelapa sawit,” katanya.


Bagaimanapun Joachim berkata, tidak banyak pelabur yang menjalankan aktiviti hiliran kelapa sawit di POIC Lahad Datu disebabkan beberapa kekangan antaranya bekalan bahan mentah kelapa sawit seperti tandan kelapa sawit kosong (EFB), tempurung kelapa sawit (PKS) dan minyak sawit mentah (CPO) kurang mencukupi.


“Selain itu jaringan jalanraya yang tidak baik, masalah infrastruktur seperti bekalan air dan elektrik yang sering terganggu sehingga menyebabkan operasi harian kilang-kilang tergendala dan kekurangan kepakaran tempatan dan pelbagai lagi masalah lain.


“Masalah-masalah teknikal dan bukan teknikal seperti inilah yang perlu dikenalpasti dan diselesaikan agar kita mampu menarik pelabur-pelabur datang dan menjalankan aktiviti mereka di POIC Lahad Datu,” katanya.