• Wartawan Nabalu News

Calon Warisan di Semenanjung tidak pernah bercakap Blok Borneo dan Reset Sabah - Ewon


Ewon ketika berucap pada majlis itu.

14 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Calon Pakatan Harapan Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mempersoalkan sama ada calon-calon Parti Warisan yang bertanding di Semenanjung Malaysia bercakap mengenai Blok Borneo dan Reset Sabah.


Beliau berkata, ini kerana dua perkara itu dilaung-laungkan calon-calon Warisan Sabah dalam ceramah kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


“Kita semua tahu Warisan bertanding 25 kerusi Parlimen di Sabah dan di Semenanjung mereka bertanding 26 kerusi Parlimen dan juga bertanding beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri yang turut mengadakan pilihan raya negeri.


“Adakah ini bererti dalam Parti Warisan ada Blok Borneo dan Blok Semenanjung? Siapa sebenarnya yang memecahbelahkan rakyat? Siapa yang memecahbelahkan parti dia?


“Pernahkah kita dengar calon-calon Warisan di Semenanjung bercakap tentang Blok Borneo dan hak-hak Sabah? Ini menjadi persoalan saya.


“Wawasan itu tidak menjadi realiti kerana dalam Parti Warisan itu sendiri sudah berpecah dari segi ideologi,” katanya.

Dari kiri Ewon, Jannie, Gobind.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Harapan Parlimen Penampang di perkarangan Boulevard Hypermarket, Kepayan di sini, malam tadi.


Ewon berkata, Pakatan Harapan mempunyai 39 Tawaran Harapan untuk rakyat Malaysia pada PRU15 dan enam daripadanya khas untuk Sabah.


Katanya, ini termasuk tuntutan sebanyak 40 peratus hasil wilayah Sabah dipulangkan berdasarkan formula asal Perkara 112C dan Subseksyen 2 (1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh dalam Perlembagaan Persekutuan.


“Saya akan minta kerajaan melaksanakan apa yang kita masukkan dalam Tawaran Harapan termasuk Hak Sabah 40 peratus. Ini komitmen dan perjuangan kami,” katanya.

Ewon (dua dari kanan), Gobind (dua dari kiri), Chan (kii) dan Jannie (kanan).

Beliau turut mengulangi ketegasannya untuk tidak menarik balik saman yang telah difailkan di mahkamah bersama semua wakil rakyat PH Sabah walaupun kerajaan PH menjadi kerajaan persekutuan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri.


Ewon yang juga bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, beliau juga akan menggunakan kedudukannya sebagai seorang daripada anggota Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk menuntut apa yang terbaik untuk Sabah dan Penampang.


“Sebagai presiden UPKO, saya akan duduk bersama-sama dengan semua presiden parti-parti komponen PH dan inilah platform saya untuk menuntut apa yang terbaik untuk Sabah dan Penampang. Ini komitmen saya.


“Bagi membuktikan sama ada, saya mampu menunaikannya, bagi saya peluang lima tahun. Saya pantang dicabar soal perkhidmatan dan perjuangan untuk rakyat, jika belum diberi peluang membuktikan keupayaan saya,” katanya.


Ewon turut menjelaskan kepentingan mempunyai calon Perdana Menteri yang jelas.


“Dalam PRU15, kita bukan sahaja memilih Ahli Parlimen tetapi mengundi untuk menentukan kerajaan persekutuan dan perdana menteri.


“Kenapa calon Perdana Menteri penting? Kerana dalam semua mesyuarat kabinet dia mempunyai kuasa mutlak. Selagi Perdana Menteri tidak bersetuju kepada tuntutan anggota kabinetnya, sudah tentu tuntutan itu tidak akan diputuskan. Sebab itu semasa Tun Dr.Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, kita minta tetapi tidak dipersetujui.


“Sebab itu calon Perdana Menteri sangat penting. Dalam PH, hanya satu calon perdana menteri iaitu Datuk Seri Anwar, presiden PKR sebuah parti berbilang kaum,” katanya.


Turut hadir dan menyampaikan ceramah Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Bernard Dompok, Timbalan Pengerusi DAP Malaysia Gobind Singh, calon Pakatan Harapan Kota Kinabalu Chan Foong Hin, Ketua PKR Penampang Joseph Alex Chang, Adun Kepayan Jannie Lasimbang, Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Peter Mojuntin dan Setiausaha Agung UPKO Nelson W Angang.