CAMOS Bimbang Dengan Janji PMX
- nabalunews
- Nov 16, 2025
- 2 min read

16 November 2025
KOTA KINABALU: Pertubuhan Change Advocate Movement Sabah (CAMOS) menyuarakan kebimbangan terhadap janji-janji terkini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan membangkitkan komitmen yang diberikan bukannya perkara baharu bagi rakyat Sabah.
Presiden CAMOS, Daniel John Jambun berkata, rakyat Sabah telah mendengar janji yang sama sejak 1994, namun sehingga kini pelaksanaannya masih jauh daripada memuaskan.
Katanya, janji pilihan raya pada tahun 1994 masih segar dalam ingatan apabila Anwar yang ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri berjanji untuk “membina Sabah baharu dalam 100 hari.”
“Hampir tiga dekad berlalu, rakyat masih menunggu hasilnya. Yang kita lihat hanya ucapan, jawatankuasa dan mesyuarat, kini datang lagi satu pusingan janji,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, CAMOS turut mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri mengenai kerajaan “tidak merayu” keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak 40 peratus hasil Sabah, sedangkan Pejabat Peguam Negara (AGC) tetap memfailkan Notis Rayuan.
“Notis Rayuan tetap satu tindakan mencabar keputusan. Jika mahu penjelasan, ada mekanisme undang-undang lain. Mengatakan ia bukan rayuan adalah mengelirukan,” katanya.
Selain itu, Daniel John turut membangkitkan persoalan mengenai tindakan undang-undang berkaitan kes rasuah melibatkan ahli perniagaan Albert Tei.
“CAMOS mempersoalkan mengapa hanya dua ADUN didakwa sedangkan laporan menyebut lebih 10 individu terlibat.
“Rakyat Sabah tahu apa yang berlaku, politik sogokan dan pembelian sokongan. Mengapa hanya dua orang dibawa ke mahkamah? Yang lain masih bebas dan memegang jawatan,” katanya.
Menurutnya, rakyat mahukan tindakan, bukan retorik semata-mata, kerana apabila PMX mengumumkan satu lagi “mesyuarat teknikal” akan dibuat tidak memberi apa-apa makna kepada rakyat.
“Skripnya sudah 60 tahun sama, cakap besar di Sabah, tunda di Putrajaya dan salahkan pihak lain apabila gagal. Rakyat mahu hak perlembagaan dilaksanakan sekarang.
“Apa yang rakyat Sabah mahukan adalah Kerajaan Persekutuan menarik balik notis rayuan segera, mendedahkan angka sebenar hasil Sabah serta membayar balik tunggakan sejak tahun 1974.
“Malah, Perdana Menteri perlu menjelaskan mengapa Jabatan Peguam Negara (AGC) seperti melindungi beberapa YB dalam kes Albert Tei dan berhenti menggunakan Sabah sebagai pentas politik,” katanya.
Daniel John berkata, kesimpulannya rakyat Sabah tidak lupa dengan janji 1994 tidak ditunaikan.
“Hari ini pun kelihatan sama. Ucapan bukan keadilan, janji bukan hak perlembagaan dan pendakwaan terpilih bukan integriti,” tegasnya.















Geometry Dash is amazing because it turns a simple control—just tapping—into something incredibly deep and skill-based. Learning how to play feels like mastering an art form of timing and patience.