- Wartawan Nabalu News
CAWANGAN PUSPAKOM KOTA KINABALU DITUTUP, KAKITANGAN POSITIF COVID-19

21 NOV 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Cawangan Puspakom Kota Kinabalu ditutup sementara berkuatkuasa hari ini (21 November) untuk proses sanitasi dan pembersihan secara menyeluruh.
Menurut kenyataan Puspakom hari ini, penutupan itu berikutan seorang kakitangan PUSPAKOM Kota Kinabalu disahkan positif Covid-19 dan beliau kini sedang mendapatkan rawatan dan dikuarantin di sebuah hospital kerajaan.
“Proses pengesanan kontak juga sedang dijalankan dan semua kakitangan cawangan juga akan diuji, sementara mereka yang berhubung secara langsung dengan pesakit tersebut telah diarahkan untuk menjalani kuaratin selama 14 hari.
“Sehubungan itu PUSPAKOM telah mengambil langkah menutup PUSPAKOM Kota Kinabalu serta merta berkuatkuasa hari ini, 21 November 2020 untuk melakukan proses sanitasi dan pembersihan secara menyeluruh,” menurut kenyataan itu.
Pembukaan semula PUSPAKOM Kota Kinabalu akan dimaklumkan kelak.
“Pihak kami akan mendapatkan nasihat dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan kelonggaran pembaharuan permit untuk kenderaan yang tamat tarikh pemeriksaan dalam tempoh PUSPAKOM Kota Kinabalu ditutup.
“Bagi pelanggan yang mempunyai temujanji di PUSPAKOM Kota Kinabalu, semua bayaran tempahan pemeriksaan yang telah dibuat akan dipulangkan secara automatic,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, PUSPAKOM akan sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menghadapi gejala ini. Sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan kepada pelanggan dari semasa ke semasa.