CCCT bimbang impak dasar baharu Undang-Undang Kecil Seragam MPT
- nabalunews
- Nov 28, 2024
- 1 min read

28 November 2024
TAWAU: Dewan Perniagaan Tionghua Tawau (CCCT) menyuarakan kebimbangan terhadap impak pelaksanaan Dasar Baharu Undang-Undang Kecil Seragam oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang dijadual berkuatkuasa pada awal Januari 2025.
Presiden CCCT, Chia Seong Fatt berkata, pelaksanaan Uniform (Licensing the use of premises for trade, business, industry and profession) By-Laws 2022, dan Uniform (Food Establishment) By-Laws 2022 berkenaan, dikhuatiri memberi beban kewangan serta operasi perniagaan tempatan.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya menggesa MPT mempertimbangkan keadaan peniaga dengan teliti dan melaksanakan dasar baharu itu secara berperingkat kerana pelaksanaan segera tanpa tempoh penyesuaian berisiko membebankan peniaga tempatan.
"Ini adalah demi memastikan dasar berkenaan seimbang di antara kepentingan ekonomi dan kesepakatan pihak berkepentingan.
"MPT juga perlu mengkaji secara mendalam keperluan sebenar peniaga tempatan sebelum melaksanakan dasar baharu ini memandangkan pandemik dan ketidaktentuan ekonomi global memberi kesan besar kepada landskap perniagaan di daerah ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, perubahan besar dalam dasar tersebut, seperti peningkatan bayaran, prosedur yang semakin kompleks, serta sekatan ke atas jenis perniagaan tertentu bakal berpotensi memberikan impak negatif terhadap peniaga.
Katanya, walaupun tujuan dasar tersebut mungkin untuk mempertingkatkan pengurusan kawasan tempatan, pihaknya bimbang peniaga kecil dan sederhana akan menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan perubahan mendadak ketika keadaan ekonomi semasa yang masih mencabar.
Chia turut menggalakkan kerjasama rapat di antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti perniagaan dalam merangka pelan pelaksanaan yang lebih realistik dan mesra ekonomi.
Mengulas lanjut, beliau mencadangkan MPT melaksanakan projek perintis terlebih dahulu untuk menguji keberkesanan dasar tersebut, sebelum diperluaskan secara menyeluruh berdasarkan pengalaman dan maklum balas yang diperoleh, kelak.
Katanya, penyediaan tempoh peralihan yang mencukupi disertai dengan latihan, sokongan kewangan, atau insentif lain mampu membantu peniaga menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.
Comments