Cederakan dan Ugut Bekas Isteri
- nabalunews
- Jun 14, 2025
- 1 min read

14 Jun 2025
TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki mencederakan dan mengugut bekas isterinya dalam kejadian di Batu 3, Jalan Apas, di sini, baru-baru ini.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di hadapan sebuah kilang di Batu 3, Jalan Apas, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku pada jam 11 malam, 31 Mei lalu apabila suspek datang ke rumah bekas isterinya.
Katanya, suspek dikatakan mahu berjumpa dengan bekas isterinya berusia lingkungan 40-an untuk berbincang.
"Bagaimanapun, adik mangsa yang cuba menghalang dan memintanya supaya tidak lagi mengganggu kakaknya membuatkan suspek bertindak agresif.
“Suspek yang berang dilaporkan memukul adik mangsa berusia 25 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa cuba meleraikan namun turut dibelasah oleh suspek dan mengugut untuk membakar rumah yang didiami mangsa sekeluarga.
"Kejadian itu turut menyebabkan mangsa cedera di muka dan hidung manakala adiknya cedera di muka.
“Bertindak atas laporan polis yang dibuat pada 1 Jun, polis menjalankan siasatan dan berjaya mengesan dan menahan suspek.
"Suspek ditahan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan direman untuk siasatan lanjut," katanya.















Comments