top of page

Ceramah Jenayah Komersial Tingkatkan Kesedaran Warga Emas di Kota Belud

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

11 Februari 2026


KOTA BELUD: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud telah mengadakan ceramah berkaitan jenayah komersial dan jenayah dalam talian di Rumah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kota Belud, semalam.


Program anjuran PAWE Kota Belud itu disertai seramai 25 warga emas dan diketuai oleh Ketua BSJKD IPD Kota Belud, Inspektor Khairul Azhar Razali. Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada pendekatan High Profile Policing (HPP) dalam usaha memperkukuh kehadiran serta hubungan PDRM bersama komuniti setempat.


Menurut PDRM, ceramah tersebut memberi pendedahan mengenai pelbagai modus operandi penipuan dalam talian, termasuk penipuan pembelian atas talian, phone scam dan love scam, yang semakin berleluasa dan menyasarkan golongan rentan seperti warga emas.

Peserta turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, tidak mudah terpengaruh dengan tawaran yang meragukan serta tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat peribadi atau butiran akaun bank dengan individu tidak dikenali bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan atau terlibat sebagai “keldai akaun”.

Selain itu, orang ramai digalakkan memanfaatkan saluran rasmi seperti portal Semak Mule, CCID Infoline, talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997, aplikasi Whoscall serta laman Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sebagai langkah pencegahan dan semakan sebelum melakukan sebarang transaksi.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page