ChiVera-Inovasi UMS bantu petani Kundasang elak pembaziran hasil tani rangkul hadiah utama RSIC 2021
24 Ogos 2021
KOTA KINABALU: Produk ChiVera yang dihasilkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menangani pembaziran hasil tani di Kundasang ketika pandemik Covid-19 berjaya merangkul hadiah utama pertandingan Rising Star Agri-Food Innovation Challenges (RSIC) 2021 pada 12 Ogos 2021.
Inovasi daripada pelajar Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) itu menyingkirkan lima pasukan lain di peringkat Superstar untuk UMS mengungguli pertandingan bagi kategori negara Malaysia.
Kemenangan itu juga sekali gus membolehkan pasukan Kampus Rahmah tersebut meraih hadiah utama wang bernilai US$5,000 (RM21,130).
Pertandingan secara dalam talian yang melibatkan penyertaan dari Indonesia, Malaysia dan Thailand ini turut menyaksikan Pasukan Xiamen University Malaysia muncul sebagai pemenang tempat kedua.
Mereka menerima hadiah wang US$2,500 (RM10,565) melalui produk inovasi Prozyme bagi kategori yang sama.
Sementara itu, penasihat pasukan UMS merangkap pensyarah kanan FSMP, Dr Rovina Kobun dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kemenangan yang dikecapi adalah di luar jangkaan namun sesuatu pencapaian yang cukup manis.
“Persaingan dalam pertandingan RSIC 2021 begitu sengit dengan penyertaan lebih 1,000 peserta.
“Hanya 16 pasukan yang disenarai pendek ke peringkat Superstar, iaitu enam pasukan dari Malaysia, enam pasukan Indonesia dan empat dari Thailand.
“Daripada 16 pasukan itu, ada enam pasukan sahaja yang dinobatkan sebagai pemenang bagi negara masing-masing iaitu mereka yang berada pada kedudukan dua teratas.
“Syukur UMS dinobatkan sebagai pemenang utama untuk Malaysia,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada UMS khususnya FSMP atas sokongan padu yang diberikan.
Mengulas tentang inovasi ChiVera, Rovina menjelaskan ia adalah teknologi semburan dihasilkan bersama pelajar bagi mengatasi pembaziran buah-buahan dan sayur-sayuran di Kundasang semasa pandemik Covid-19.
“Hasil temubual dengan penduduk dan petani, kita dapati terdapat pembaziran makanan disebabkan penghasilan tanaman melebihi permintaan pengguna. Mereka terpaksa membuang hasil tidak terjual kerana jangka hayatnya yang pendek.
“Dengan menggunakan kitosan yang diekstrak daripada dua sumber organik, maka kita berjaya hasilkan produk ChiVera ini.
“Selari dengan motto kami A waste to save a waste, inovasi semburan ini berfungsi untuk menyegarkan dan memanjangkan jangka hayat buah-buahan dan sayur-sayuran,” tambahnya.
Untuk rekod, pertandingan RSIC 2021 merupakan anjuran bersama Indonesia Malaysia Thailand Growth Triangle University Network (IMT-GT UNINET), Green Growth Asia Foundation (GGAF), dan Thought For Food (TFF) Foundation.
Comments