CI@UMS LEBARKAN SAYAP KERJASAMA DALAM BIDANG INDUSTRICI@UMS LEBARKAN SAYAP KERJASAMA DALAM BIDANG INDUSTRI
top of page
  • nabalunews

CI@UMS LEBARKAN SAYAP KERJASAMA DALAM BIDANG INDUSTRI


9 DIS 2020


KOTA KINABALU: Pelbagai kerjasama sedang dikenal pasti melalui Institut Confusius Universiti Malaysia Sabah (CI@UMS) dengan rakan kerjasama dari negara China untuk dilaksanakan selepas pandemik koronavirus (COVID-19) terkawal.


Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Taufik Yap Yun Hin berkata, antaranya termasuk memperkasa kakitangan akademik dan pelajar melalui program-program latihan.


“Pada ketika ini Ahli Majlis CI@UMS iaitu Changsha University of Science and Technology (CSUST) dan syarikat CCCC Dredging dalam proses mengenal pasti program-program latihan dalam bidang industri dan teknikal.


“Ini bermakna kerjasama yang kita akan laksanakan selepas ini bukan hanya tertumpu dalam bidang pengetahuan terhadap bahasa dan budaya tetapi yang lebih jauh kerjasama ini juga akan menjurus kepada industri,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat secara atas talian dengan Ahli-ahli Majlis CI@UMS yang turut dihadiri CSUST dan CCC Dredging pada Isnin (7 Disember 2020).


Turut hadir wakil Pengerusi Majlis CI China, Professor Dr. Chiang Changbo; Pengarah CI@UMS (Malaysia), Prof. Dr Low Kok On; Pengarah CI@UMS (China), Prof Madya Deng Rong; Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Prof. Dr Jualang Gansau; dan Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global UMS, Prof. Dr. Ho Chong Mun.


Dr Taufik berkata, UMS berharap agar kerjasama yang telah terjalin antara universiti di China dan UMS akan menjadi lebih rapat dengan meneruskan program mobiliti antara pelajar dan kakitangan akademik.


“Maknanya selepas pandemik ini mungkin lebih lagi banyak mobiliti berlaku dalam kalangan pensyarah dan juga pelajar kita,” ujar beliau yang juga Pengerusi Majlis CI@UMS Malaysia.


Sementara itu Dr Low Kok On memaklumkan pelbagai aktiviti telah dilaksanakan CI@UMS sepanjang tahun 2020.


Ujar beliau, ia termasuk kelas Bahasa Mandarin dalam kalangan pelajar dan kakitangan dengan kadar bayaran berpatutan.


“Kita turut mempelawa orang ramai khususnya kepada jabatan-jabatan atau agensi yang terlibat dalam komunikasi dalam bahasa Mandarin seperti agensi pelancongan dan pekerja di lapangan terbang.


“Semasa pandemik ini kita juga telah membuka kelas secara atas talian yang diajar oleh tenaga pengajar dari negara China,” katanya.


Untuk rekod, UMS merupakan salah satu daripada empat universiti yang mempunyai Institut Confucius di Malaysia.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page