Clare Simbat dilantik sebagai Ketua Wanita DAP Sabah baharuClare Simbat dilantik sebagai Ketua Wanita DAP Sabah baharu
top of page
  • nabalunews

Clare Simbat dilantik sebagai Ketua Wanita DAP Sabah baharu



27 Julai 2021


KOTA KINABALU: Konvensyen Wanita DAP secara alam maya yang dilaksanakan pada Ahad lalu menyaksikan perlantikan Clare Taunek Simbat sebagai Ketua Wanita DAP Sabah yang baharu.


Perlantikan AJK baharu yang diketuai oleh Clare juga dijangka membawa impak positif daripada sudut perspektif masyarakat khususnya golongan wanita bahawa peranan golongan ini amat besar dan penting dalam tujuan membawa pembaharuan serba-serbi.


Clare dalam ucapan pertama beliau selaku Ketua Wanita DAP Sabah berkata sebagai seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu dan sekaligus menceburi bidang politik, ia bukan sesuatu yang mudah.


Ini memerlukan komitmen dan keberanian yang bukan sedikit dalam menyahut cabaran dan terus maju ke hadapan, tambahnya.


“DAP menyedarkan saya akan kepentingan kesaksamaan gender dan pentingnya wanita mengambil bahagian sebagai pembuat keputusan (decision maker).


“Pemimpin wanita DAP yang lain banyak memberi saya inspirasi yang menjadi bekal semangat dan harapan, bahawa wanita bukan sahaja boleh memimpin tetapi boleh berperanan menjadi ‘game changer’ dalam masyarakat dan negara” katanya.


Menurut Clare, masih ramai wanita di kalangan Orang Asal Sabah yang belum menyedari akan kepentingan mengapa wanita perlu turut serta sebagai pembuat keputusan dan mesej ini perlu disebar-luaskan kepada rakan-rakan wanita supaya mereka berani tampil dan mengambil langkah ke hadapan.


“Kesaksamaan gender adalah satu misi untuk diperjuangkan demi mencapai pembangunan lestari oleh itu wanita perlu mengambil peranan menjadi ejen perubahan demi generasi yang lebih cemerlang" ujarnya.


Dalam pada itu, melalui konvensyen maya ini Ketua Wanita DAP Kebangsaan, Chong Eng turut menyampaikan amanat yang membangkitkan semangat para perwakilan dan pemerhati yang turut serta.


“Sentiasa memperkasakan diri dan berfikir apakah sumbangan diri terhadap masyarakat dan negara, bagaimana mewujudkan platform supaya lebih ramai wanita tampil untuk berkhidmat terutama diperingkat sebagai pembuat keputusan.


“Apabila anda berkapasiti, bersemangat, keazaman yang tinggi, mempunyai kompetensi dan berkebolehan barulah suara anda boleh didengari. Langkah seterusnya adalah usaha untuk membuat perubahan polisi dengan menempatkan diri bersama-sama di meja pembuat keputusan.” katanya.


Tambah beliau lagi, setiap keputusan yang dibuat mampu membawa impak perubahan. Oleh itu pemimpin wanita harus memutuskan apakah perubahan yang diingini untuk masyarakat dan negara.


Barisan AJK Wanita DAP Sabah yang baharu turut menyenaraikan penyandang jawatan yang baharu seperti Pang Pit San sebagai Timbalan Ketua Wanita dan Yiska Lassan sebagai Setiausaha.

bottom of page