Lesen Tamat Tempoh, Bot Lampu Ditahan Di Perairan Tabawan
- nabalunews
- 7 minutes ago
- 1 min read

12 Januari 2026
LAHAD DATU: Sebuah bot lampu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas didapati beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh dalam operasi di perairan Tabawan, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, operasi dilaksanakan anggota bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op PLUTO TIMUR 2/2023 dan Op TIRIS 3.0.
Katanya, bot berkenaan ditahan kira-kira jam 4.15 petang pada kedudukan 0.6 batu nautika tenggara, Pulau Katung, di sini.

“Pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan dikendalikan dua kru warga Filipina berusia 44 dan 49 tahun, yang masing-masing memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut terhadap dokumen operasi mendapati bot lampu tersebut melanggar Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan lesen yang telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dzulfikhar berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengusaha bot nelayan yang gagal memperbaharui lesen serta beroperasi secara tidak sah, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Susulan itu, katanya, bot dan kru terus dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu bagi tujuan siasatan dan tindakan selanjutnya.
Sehubungan itu, Dzulfikhar menegaskan agar komuniti maritim mematuhi undang-undang laut dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp di talian 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.


















Comments