Covid: 10 daerah di Sabah catat peningkatan kes baharu Covid: 10 daerah di Sabah catat peningkatan kes baharu
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Covid: 10 daerah di Sabah catat peningkatan kes baharu


Gambar Hiasan

6 November 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sebanyak 10 daerah di Sabah mencatatkan peningkatan kes baharu positif Covid-19 pada hari ini.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daerah-daerah itu ialah Beaufort, Kota Marudu, Telupid, Kudat, Pitas, Tawau, Lahad Datu, Keningau, Sandakan dan Tongod.


Beliau berkata, kes harian di daerah-daerah berkenaan meningkat antara dua hingga 30 kes berbanding kes yang dicatatkan kelmarin.


“Dari segi komposisi kes positif Covid-19, sebanyak 566 kes adalah kes tempatan dan tiga kes jangkitan daripada Orang Dalam Tahanan atau banduan.


“Kebanyakannya adalah individu yang sudah lengkap dua dos vaksin iaitu 364 kes, diikuti individu belum layak vaksin berumur 12 tahun ke bawah seramai 102 orang, belum menerima vaksin (98 orang) dan individu menerima satu dos vaksin lima kes,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, kerajaan negeri Sabah melalui sidang mesyuaratnya bersetuju untuk negeri ini beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berdasarkan nilai ambang yang telah dipenuhi bermula 8 November ini.


Katanya, prosedur operasi standard (SOP) akan diumumkan kemudian.


bottom of page