top of page

COVID-19: 1,594 KES BAHARU, TIGA KEMATIAN DIREKODKAN HARI INI - KP KESIHATAN

nabalunews

28 DIS 2020


PUTRAJAYA: Kes baharu harian COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan empat angka iaitu 1,594 kes hari ini, sekali gus menyaksikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini meningkat kepada 20,643 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini mencecah 106,690 kes, selain turut merekodkan tiga kematian baharu melibatkan warganegara.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 697 kes, dengan 593 kes adalah daripada kluster sedia ada dan saringan kontrak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan,” katanya dalam sidang media mengenai perkembagan COVID-19 hari ini.


Beliau berkata daripada jumlah kes baharu itu, hanya tiga kes import manakala 1,591 kes adalah penularan dalam negara.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 108 daripada jumlah kes baharu adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (42 kes), Kluster Bakti (34 kes), Kluster Pagar Siput (enam kes), Kluster Tembok (enam kes), Kluster Penjara Seberang Perai (lima kes), Kluster Pagar Bentong (lima kes), Kluster Tembok Gajah (empat kes), Kluster Penjara Sandakan (tiga kes), dan Kluster Kolam Air (tiga kes).

Mengenai tiga kematian baharu hari ini, beliau berkata dua kematian direkodkan di Selangor melibatkan wanita berusia 62 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis dan obes serta seorang lelaki berumur 90 tahun dengan penyakit darah tinggi, dislipidemia dan gout.

Satu lagi kematian berlaku di Sabah melibatkan lelaki berusia 62 yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi.

Dr Noor Hisham berkata bilangan kes pulih hari ini pula adalah 1,181 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya kini sebanyak 85,592 kes.

Sementara itu beliau berkata sehingga kini terdapat 116 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 53 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. - Bernama

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page