Covid-19: 599 kes baharu direkodkan di Sabah hari iniCovid-19: 599 kes baharu direkodkan di Sabah hari ini
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Covid-19: 599 kes baharu direkodkan di Sabah hari ini


28 Oktober 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah merekodkan sebanyak 599 kes Covid-19 baharu pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 216,263 kes.


Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata daerah Ranau merupakan penyumbang utama kepada faktor peningkatan kes hari ini dan menjadi satu-satunya daerah yang mencatatkan kes tiga angka, iaitu 104 kes.


“Walau bagaimanapun, 15 daerah lain mencatatkan penurunan kes dengan empat daripadanya mencatatkan penurunan yang signifikan.


“Cuma 10 daerah mencatatkan peningkatan kes dengan dua daripadanya menunjukkan pertambahan yang ketara,” katanya.


Ujarnya, kes-kes jangkitan yang berlaku secara sporadik atau lebih dikenali kes Saringan Bergejala kekal tinggi dengan 218 kes dicatatkan pada hari ini. Daripada jumlah tersebut, Ranau mencatatkan 32 kes.


Masidi berkata, jumlah kes yang memerlukan rawatan di hospital kekal rendah walaupun jumlah kes meningkat.


Sebanyak 94.83 peratus daripada jumlah keseluruhan kes hari ini berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2, empat kes dalam Kategori 3, tiga kes dalam Kategori 4 dan dua kes dalam Kategori 5.


“Walaupun sekatan ke atas aktiviti-aktiviti sosial telah banyak dilonggarkan tetapi semua penduduk adalah diingatkan agar terus mematuhi SOP yang dikuatkuasakan.


“Elakkan daripada menganjur atau menghadiri majlis-majlis sambutan dan keramaian yang boleh mengundang risiko jangkitan yang tinggi,” tambahnya.


Bagaimanapun, sebanyak 11 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu dua kes di Kota Kinabalu dan Beaufort, manakala masing-masing satu kes di Beluran, Keningau, Kinabatangan, Kudat, Pitas, Sipitang dan Tawau.


Manakala, bilangan pesakit yang sembuh pada hari ini ialah 487, menjadikan jumlah kumulatif 205,602 orang.


“Seramai 1,874 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 725 orang di hospital, 1,128 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 20 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau Penjara dan satu orang di fasiliti swasta.


“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 74 orang merangkumi 71 di ICU serta tiga di kubikel akut dan 23 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).


Jelasnya, bilangan pesakit Kategori empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin adalah 100.


bottom of page