• Wartawan Nabalu News

COVID-19: 673 KES BAHARU, DUA KEMATIAN, SATU KLUSTER BAHARU DI SABAH (20 OKT)



20 OKTOBER 2020


KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah pada hari ini (20 Oktober) sebanyak 673 kes, dua kes kematian dan satu kluster baharu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri ini adalah sebanyak 8,755 kes.

“Sehingga hari ini, seramai 3,223 pesakit dilaporkan telah sembuh. Manakala, seramai 5,466 pesakit sedang menerima rawatan dalam wad di seluruh Sabah,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.

Masidi berkata, daripada jumlah keseluruhan kes baharu yang dilaporkan hari ini, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi sebanyak 289 kes positif.

“Daripada jumlah tersebut, 231 kes adalah daripada kluster Penjara Kepayan. Kawasan ini telahpun dimasukkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

Beliau berkata daerah Tawau mencatatkan sebanyak 130 kes baharu pada hari ini, Semporna (63 kes), Sandakan (52 kes), Lahad Datu (28 kes), Kunak (24), Kudat (15 kes), Kota Belud (10 kes), Putatan dan Papar masing-masing sembilan kes, Ranau dan Beaufort masing-masing mencatatkan lapan kes, Tuaran dan Penampang masing-masing tujuh kes, Tambunan (empat kes), Keningau dan Kinabatangan masing-masing tiga kes, Kuala Penyu, Sipitang, Kota Marudu, Telupid masing-masing merekodkan satu kes.

“Lima daerah iaitu Pitas, Tenom, Beluran, Nabawan dan Tongod, tiada kes baharu Covid-19 pada hari ini,” katanya.